Skip to main content

Rencana

Berat lagi bahu yang memikul

111016zaquan.jpg

Baru-baru ini, sekelompok pemain bola sepak negara yang berada dalam kem latihan menghadapi dua perlawanan berstatus antarabangsa A, melupakan seketika tekanan dan kerjaya mereka.

Status bintang pujaan yang mereka pikul -- sama ada di pentas negeri mahupun kebangsaan -- diketepikan untuk sementara waktu di celah-celah tuntutan tugasan Harimau Malaysia menentang Singapura dan Afghanistan.

Diketuai oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, beberapa anggota skuad negara melawat keluarga Muhammad Haziq Danish Eddy Zain di Ampang pada tanggal 9 Oktober lalu.

Haziq, 14, anak kedua daripada empat beradik, adalah penghidap kanser tulang. Tangan kanannya dipotong ketika dia berusia 11 tahun bagi mengelak sel-sel kanser daripada merebak ke bahagian lain.

Dalam pertemuan singkat tetapi cukup bermakna itu, rombongan berkenaan menyerahkan cendera hati dalam bentuk jersi dan kemeja T kepada Haziq sebagai tanda ingatan.

Pemain yang hadir, Khairul Fahmi Che Mat, Zaquan Adha Abdul Radzak, Nazirul Naim Che Hashim, Rizal Ghazali, Shahrul Saad, S. Veenod, Darren Lok dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham. Turut hadir penolong Kim Swee, Brad Maloney, Kris Yong Wai Hwang serta ketua jabatan media FAM, Wan Fakhrul Anwar Wan Bakar.

Bagi pihak pemain, Hamidin menyampaikan kata-kata perangsang kepada keluarga Haziq. 

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kami mendoakan agar Haziq sembuh seperti sedia kala, ” katanya kepada bapa Haziq, Eddy Zain Esham.

“Lawatan kami ini bukan saja bertujuan memberi semangat kepada pesakit seperti Haziq, tetapi juga satu tanggungjawab sosial FAM selain memberi kesedaran kepada pemain untuk menghargai apa yang mereka miliki.

"Pemain atau atlet harus sedar bahawa kedudukan mereka sebagai ikon di mata masyarakat boleh membantu memberi sokongan moral dalam keadaan sebegini.”

Haziq, anak kedua daripada empat beradik, adalah pelajar SMK Taman Setiawangsa dan seorang peminat bola sepak tempatan.

Terharu dengan kehadiran skuad negara, Eddy Zain mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada FAM atas lawatan mengejut itu.

Menurutnya, Haziq menjalani kehidupan yang aktif, termasuk berlatih taekwondo, bermain tenis dan berenang setiap minggu sehingga kesihatannya terjejas kira-kira sebulan lalu.

“Tanpa tangan kanannya, Haziq menunjukkan semangat luar biasa untuk belajar menulis dan melakukan kegiatan dengan tangan kiri. Saya harap skuad negara sama-sama mendoakan Haziq agar dia kembali pulih untuk menjalani kehidupan seperti remaja seusianya.”

Sekalipun sudah sebulan tidak hadir ke sekolah, Haziq berazam untuk menduduki peperiksaan agar dapat menempatkan dirinya dalam kalangan 20 pelajar terbaik tingkatan dua di sekolahnya. 

Dipetik dalam akaun youtube rasmi FAMTV Malaysia, Haziq berkata:

“Saya rasa gembira sangat, bukan senang nak jumpa diaorang, dan saya rasa bersemangat untuk melawan balik kanser ini.”

Dalam entri di akaun Facebooknya, Yong yang juga jurulatih penjaga gol skuad negara, menyifatkan Haziq sebagai seorang wira.

“HM melawat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang menghidap kanser tulang. Tangan kanan Haziq dipotong dan sel-sel kanser sudah merebak ke paru-parunya. Apa yang ditempuhi Haziq adalah sesuatu yang kita boleh pelajari. Tiada cabaran lebih besar selain daripada melawan sakit dan menempuh derita dalam berjuang untuk hidup ketika bangun setiap pagi. Impiannya ialah sembuh sepenuhnya agar dia dapat hidup seperti biasa. Daya juangnya memberi inspirasi untuk kami memburu cita-cita. Haziq, andalah WIRA kami.”

Sama-sama kita doakan mereka yang sedang dilanda musibah dan diberi ujian daripada Yang Maha Esa agar diberi kekuatan dan ketabahan.

Haziq adalah sumber inspirasi bukan saja untuk individu-individu yang hadir pada majlis ringkas itu, tetapi juga untuk sesama insan yang bergelut setiap hari dalam menempuh pasang surut kehidupan.

Kredit imej: OfficialHarimauMalaysia

Advertisement

Must Watch Video