Skip to main content

Rencana

Benitez “tampar” mulut Klopp

cover-story_1.jpg
Sebelum aksi pada Ahad lalu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, memulakan perang psikologi di antara dirinya dan pengurus The Magpies, Rafa Benitez, apabila mengingatkan kembali pengurus dari Sepanyol itu tentang satu perlawanan dalam tahun 2006.

Ketika itu, Klopp yang mengendalikan kelab Jerman, Mainz 05, dengan mudah menundukkan anak buah Benitez (Liverpool) 5-0 dalam aksi pra-musim, sekaligus memberikan tamparan besar buat The Kop yang sedang dalam persiapan untuk aksi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Maccabi Haifa.

Sebelas tahun selepas itu, mereka bertemu buat kali ketiga, kali ini bersama pasukan baru selepas terikat 2-2 dalam musim pertama Klopp dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dua tahun lalu.

Benitez kembali ke saingan EPL setelah berjaya mengemudi Newcastle United mengungguli Liga Kejuaraan pada musim lalu, menamatkan kesengsaraan peminat-peminat The Magpies selepas tersingkir daripada liga utama England pada tahun 2016.

Sementara Klopp bakal bertandang ke St. James Park buat pertama kali dalam kariernya berbekalkan hanya 11 mata selepas mengharungi enam perlawanan, menyebabkan dia mula tertekan dengan prestasi konsisten kelab yang berada di puncak liga seperti Manchester City dan Manchester United.



Walaupun tidak mahu menekan butang panik, pengendali dari Jerman itu jelas tidak dapat menafikan kenyataan itu apabila menyifatkan persembahan hebat sejak awal musim oleh dua kelab Manchester itu memberikan sedikit tekanan buat Liverpool untuk mempamerkan aksi lebih bertenaga.

Aksi pada Ahad menyaksikan Philippe Coutinho terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-29, sebelum lorongan bola bekas pemain tengah The Reds, Jonjo Shelvey, membolehkan Joselu menyamakan kedudukan 1-1 sehingga tamat permainan.

Keputusan seri bukan sesuatu yang diingini oleh Klopp kerana aksi seterusnya merupakan ujian getir menentang Manchester United yang kini berkongsi status pasukan paling sedikit dibolosi bersama The Citizens (dua gol).

Bagaimanapun, lain ceritanya daripada Benitez, yang amat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya semalam sambil menegaskan pasukannya lebih berhak menang ke atas bekas majikannya itu. Benitez juga mengekalkan rekod bersihnya menentang Liverpool sepanjang karier, iaitu lima perlawanan tanpa kalah. 

Dua mata di belakang Liverpool dan menduduki tangga kesembilan liga adalah sesuatu yang boleh dibanggakan Newcastle, terutama apabila beraksi dengan “status” pasukan baru dinaikkan taraf ke EPL.

Buat Klopp, banyak “kerja rumah” yang perlu dilakukan menjelang aksi di Anfield pada 14 Oktober. Keputusan seperti meletakkan Daniel Sturridge dalam kesebelasan utama perlu dikaji semula atau Liverpool terus mensia-siakan setiap peluang di depan gol lawan.



Masih bercerita tentang kisah tidak relevan 11 tahun lalu menimbulkan persoalan, adakah Klopp benar-benar sudah memahami EPL yang lebih mementingkan prestasi berbanding perang psikologi?

Diharapkan “tamparan” oleh Benitez di St. James Park akan membawa Klopp kembali ke dunia normal, sesuai dengan nama samaran yang pernah diciptanya sendiri, “The Normal One”.

Advertisement

Must Watch Video