Skip to main content

Rencana

Benarkah wujud formasi 4-6-0 dalam bola sepak?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

formasi-4-6-0.jpg
Mungkin ia kedengaran agak janggal apabila pasukan Malaysia dikhabarkan akan menggunakan formasi 4-6-0 menentang Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2018 berbanding formasi konvensional yang sering diguna pakai oleh skuad kebangsaan iaitu 4-4-2.

4-6-0 bermakna empat pertahanan, enam pemain tengah dan tiada langsung penyerang. Ye benar, tiada penyerang.

Jadi siapa yang ditugaskan untuk meledak gol nanti?

Baik untuk menjawab soalan itu, kita harus kembali ke sejarah di sebalik tercetusnya formasi unik ini. Formasi-formasi pelik bukanlah asing dalam bola sepak, malahan dalam satu perlawanan membabitkan pasukan England bertemu Scotland pada tahun 1872 menyaksikan Three Lions menggunakan formasi 1-2-7, manakala Scotland menggunakan formasi 2-2-6. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 0-0.

Dan untuk formasi 4-6-0, dikatakan pengurus AS Roma, Luciano Spalleti mendapat ilham untuk terapkan formasi ini dalam pasukan setelah menghadapi krisis kecederaan pemain ketika membimbing pasukan itu untuk musim 2007. Dia tahu dia punyai barisan pemain tengah yang berkaliber dan taktik untuk jaringkan gol menerusi serangan balas dan berupaya mengawal permainan. Taktik itu berjaya, malahan apabila Mirko Vucinic kembali ke pangkuan pasukan selepas pulih daripada kecederaan, Spalleti meletakkan dia sebagai pemain sayap untuk terus menjayakan formasi 4-6-0. Bukti kejayaan sudah pasti apabila AS Roma tumpaskan Inter Milan dalam perlawanan akhir Copa Italia, dengan keputusan 6-2. Namun saya tidak mahu gula-gulakan anda dengan kisah kejayaan sahaja, sudah pasti terdapat kelemahan dalam sistem ini. AS Roma pernah dibelasah 7-1 oleh Manchester United di Old Trafford ketika suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah 2006/2007. 

Tidak terhenti disitu, pasukan Sepanyol yang mahsyur dengan formasi tiki taka juga menggunakan sistem 4-6-0 ketika kempen Euro 2012. Meskipun memenangi edisi itu, pengkritik menyifatkan gaya permainan mereka terlalu bosan dan tidak banyak gol dihasilkan. Namun penggendali, Vicente Del Bosque tahu kekuatan La Roja terletak pada barisan pemain tengah, melihat sahaja kepada senarai pemain ketika itu seperti Andres Iniesta, Xavi Hernandes, Sergio Busquets, Cesc Fabregas, Xabi Alonso, dan David Silva sudah cukup untuk akui kredibiliti mereka di atas padang, baik untuk mencipta ruang mahupun hasilkan gol.

Lain pula cerita buat Scotland. Ketika kempen kelayakan Euro 2012, Scotland di bawah kendalian Craig Levein melakukan kerja gila apabila menerapkan formasi ini tatkala mereka amat memerlukan kemenangan dalam mencari slot ke Kejohanan Eropah di Poland/Ukraine apabila bertemu Republik Czech di Prague. Levein dikritik kerana ketika itu dia masih punyai penyerang, Kenny Miller dalam pasukan, tambahan dia juga menurunkan Jamie Mackie, penyerang Queens Park Rangers yang mencari kap pertama bersama skuad kebangsaan, sebagai pemain sayap. Formasi 4-6-0 memakan diri apabila Scotland  tumpas 1-0 hasil jaringan Roman Hubnik pada minit ke 68.

Sama ada 4-6-0 sesuatu yang bagus atau tidak, ia adalah subjektif dalam bola sepak. Ini adalah sebahagian daripada kisah-kisah yang pernah dilalui oleh beberapa pasukan yang pernah menerapkan formasi pelik ini, dan saya percaya jurulatih Malaysia, Nelo Vingada tahu risikonya untuk menerapkan formasi sebegini dalam perlawanan yang penting. Adakah ia bakal memberi keputusan positif buat Malaysia dalam mengharungi perlawanan dengan Hong Kong, sama-sama kita nantikan.


 

Advertisement

Must Watch Video