Skip to main content

Rencana

Beginilah nasib Agilan, Farkhan

agilan-thani-300517.jpg
Mereka juga berjuang demi negara.

Sanggup menerima ribuan tumbukan dan tendangan demi mengangkat martabat sukan Malaysia.

Namun, bezanya mereka terpaksa bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan.

Agilan Thani, atlit seni mempertahankan diri campuran (MMA) hampir cipta sejarah apabila bertarung menentang juara dunia, Ben Askren dalam perebutan tali pinggang welterweight One Championship di Singapura minggu lalu.

Atlit berusia 22 tahun ini tewas dalam tempoh kurang dua minit, tetapi kejayaannya melangkah hingga ke perebutan tali pinggang kejuaraan sesuatu yang wajar dipuji.

MMA masih baru di Malaysia dengan kejohanan pertama dianjurkan di Johor Bahru pada 2011.

Ketika itu, hanya 52 atlit mengambil bahagian namun sukan ini pantas menular di kalangan belia negara.

Di kalangan mereka, lahirlah generasi sulung seperti Ev Ting, yang cipta sejarah atlit MMA pertama Malaysia bertanding merebut tali pinggang kejuaraan, bulan lalu.

Dia menentang Eduardo Folayang di Manila, Filipina dalam kategori lightweight, namun tewas.

Langkah itu dijejaki Agilan, 22 tahun, kelahiran Sentul, Kuala Lumpur.

Atlit kategori welterweight ini pejuang kental di dalam dan luar gelanggang.

Dia tewas di tangan Askren dalam perebutan tali pinggang welterweight di Singapura, namun tetap muncul wira di mata rakyat Malaysia.

"Saya gagal SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Selepas itu, saya bekerja di gimnasium dengan gaji RM1,000 sebulan. Sepanjang bekerja, saya dibenarkan berlatih dan saya gunakan peluang itu untuk belajar sebanyak mungkin teknik pertarungan.

"Saya pernah belajar karate-do, di gimnasium saya sambung dengan jujitsu, gusti dan pelbagai lagi. Akhirnya, saya berjaya memenangi pertarungan pertama pada 2013.

"Tapi, keadaan cukup sukar kerana saya tidak dapat bantuan kerajaan. Saya terpaksa uruskan semua perkara sendiri daripada membayar jurulatih, beli peralatan latihan dan pemakanan. Keadaan pasti berbeza jika Kementerian Belia dan Sukan dapat membantu," katanya.

Saya terkenangkan Mohd Farkhan Haron.



Bekas peninju negara itu juga mengalami nasib sama apabila menyertai arena profesional pada 2013.

Ketika dia menyumbang pingat emas Sukan Sea Laos 2009, dia dijulang sebagai wira.

Namun apabila menyertai arena profesional, semua bantuan hilang dan terpaksa bergerak sendiri. Mujur, khabarnya dia mempunyai hubungan baik dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim - bolehlah bernafas dan menyara keluarga.

Farkhan akan menghadapi pertarungan keempatnya di Manila, Filipina dalam 'Brawl At The Mall', 10 Jun depan.

Mungkin nasib Farkhan sedikit baik. Tetapi bagaimana dengan yang lain?

Advertisement

Must Watch Video