Skip to main content

Advertisement

Rencana

Baru lapan bulan tapi dah ada dua trofi

mikel-arteta.jpg
Siapa sangka, pemain yang dibeli pada hari terakhir jendela perpindahan 2011 oleh Arsene Wenger, kini dijulang peminat sebagai seorang jurulatih muda yang akan meneruskan legasi Arsenal.

Tiada siapa sangka, Mikel Arteta, yang membawa Arsenal menjulang trofi Piala FA dan Perisai Komuniti sebagai kapten pasukan, mampu mengulangi kejayaan itu, kali ini sebagai pengurus pasukan. Arteta baru berada di kelab selama 8 bulan, tetapi dia berjaya membawa pasukan yang dikatakan antara ‘paling teruk’ ini memenangi trofi pada penghujung musim. Mengapa penulis kata paling teruk? Arsenal menamatkan saingan liga di tempat ke-8, dan bayangkan jika tidak memenangi Piala FA, Arsenal tidak akan menyertai mana-mana kejohanan Eropah!

Arteta dulu antara calon akhir yang akan menggantikan Wenger di The Emirates, namun kerana CV yang kurang memberangsangkan, jawatan itu diisi Unai Emery. Walaupun hadir dengan status pengurus yang memenangi banyak trofi, Emery gagal meneruskan legasi Wenger, untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok 4 terbaik liga.

Emery dipecat, dan kali ini lembaga pengarah tidak teragak-agak mengambil Arteta sebagai pengurus baru. Walaupun ada khabar angin yang mengatakan cara Arsenal ‘melamar’ Arteta dari Manchester City menggunakan ‘jalan belakang’, ia tidak sedikit pun menjejaskan perkembangan pengurus muda ini di bawah pengurusan yang baru.

Dia hanya menerima pemain yang sedia ada dalam pasukan ketika mengambil alih, walaupun pemain itu tidak sesuai dengan gaya permainan yang diinginkan. Situasi sebenarnya bertambah teruk kerana orang kuat Arsenal yang bekerja dibelakang tabir, mula keluar satu persatu. Paling terkesan sudah pasti kehilangan pengarah bola sepak kelab Raul Sanllehi, yang memainkan peranan penting dalam pembelian pemain di Arsenal.

Sanllehi diakui mempunyai hubungan yang rapat dengan ejen bola sepak berpengaruh dunia seperti Kia Joorabchian, Arturo Canales dan Jorge Mendez. Malah Sanllehi berjaya menyakinkan Joorabchian untuk membawa pemainnya Willian berhijrah ke Emirates daripada Chelsea walaupun Lampard mahu mengekalkannya. Tanpa Sanllehi, kini Arteta perlu bekerja bersama-sama Pengarah Teknikal Edu, Pengarah Urusan Vinai Venkatesham serta pakar perunding kontrak Huss Fahmy. Fahmy akan menjadi orang paling penting Arteta ketika ini terutama dalam urusan jual beli pemain. Beban bayaran gaji yang tinggi kepada beberapa pemain sedia ada perlu diseleasaikan Fahmy, selain kontrak untuk menarik pemain baru.

Tanpa dana yang banyak dan tidak beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan menjadi cabaran utama Arteta untuk membawa masuk pemain berkualiti tinggi ke Arsenal musim ini. Itu belum cerita lagi nak yakinkan pemain sedia ada untuk kekal, terutamanya kapten pasukan Pierre Emerick Aubameyang. Tetapi dengan 2 trofi dalam tempoh 8 bulan membayangkan yang Arteta dalam laluan yang betul untuk meletakkan Arsenal kembali sebagai pencabar liga dan layak ke UCL.

Walaupun kehilangan penolong Freddie Ljungberg, ura-ura mengaitkan seorang lagi legenda kelab Dennis Bergkamp yang akan menggantikannya memberi petanda Arteta serius membina semula maruah Arsenal yang lama tercalar. Jika dia mampu menarik beberapa pemain untuk datang ke Utara London musim ini, tidak salah untuk penulis menjangkakan Arsenal boleh kembali berada di kelompok 4 pasukan terbaik liga serta pertambahan trofi dalam kabinet kelab.

Advertisement

Must Watch Video