Skip to main content

Rencana

Barcelona tenang hanya di permukaan

22517barcelona.jpg
Kegagalan buat pasukan gergasi seperti Barcelona –  tersingkir dalam suku akhir Liga Juara-Juara dan kesudahannya melepaskan mahkota juara LaLiga – harus dibayar dengan harga amat mahal.

Tenang hanya di permukaan, pasukan Catalan itu dikhabarkan sedang bergolak dengan sikap saling menyalahkan dan sudah ada pemain yang secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap rakan sepasukan dan pihak pengurusan.

Terbaru, bintang barisan tengah, Andres Iniesta, menimbulkan kecurigaan dengan menyuarakan ketidakpastian akan kekal selepas kontraknya tamat musim depan sambil Neymar turut dilaporkan didesak bapanya untuk membawa haluan menyertai pasukan lain.

Di tengah-tengah kecelaruan itu, terbit pula laporan bekas pengurus, Luis Enrique, menyalahkan Lionel Messi dan Neymar di atas keputusannya untuk angkat kaki dari Nou Camp.

“Terdapat beberapa faktor, termasuk soal peribadi musim ini dan ia bukan sesuatu yang mudah. Saya perlu membut keputusan jujur dan terbaik untuk semua orang,” kata Iniesta kepada Onda Cero di sebalik pemain berusia 33 tahun itu dijangka menamatkan karier bermainnya di Barcelona.

Anehnya, ketidakpuasan hati seperti itu tidak pun berbunyi musim lalu ketika Barcelona di bawah bimbingan Enrique masih bergelar juara berganda dengan menjulang trofi LaLiga dan Copa del Rey – trofi tunggal mereka musim ini yang dimenangi tiga tahun berturut-turut.

Ringkasnya, Barcelona sedang berdepan suatu keadaan yang tidak biasa mereka alami, iaitu bukan lagi bergelar pasukan paling berjaya di Sepanyol dan Eropah yang sekadar menyulitkan lagi keadaan.

Akhbar sukan Diario Gol pula melaporkan kejutan Enrique pada Mac lalu dengan mengumumkan untuk meninggalkan pasukan sejurus musim ini berakhir, didakwa didorong oleh rasa tidak puas hatinya terhadap Messi dan Neymar – di sebalik kedua-duanya bergabung menyumbang jaringan dalam final Copa del Rey untuk kemenangan 3-1 sebagai hadiah perpisahan buat pengurus itu, Sabtu lalu.

Trofi itu adalah yang kesembilan di bawah pengendalian Enrique selama tiga musim di Nou Camp – dia menang tiga Piala Sepanyol, menjuarai LaLiga dua kali, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab FIFA, Piala Super UEFA dan Piala Super Sepanyol.

Namun, laporan Diario Gol mendakwa kedua-dua pemain itu yang sebenarnya mencaturkan perancangan untuk Enrique tidak melanjutkan tempohnya bersama skuad Blaugrana.

Gerard Pique, Sergio Busquets dan Iniesta dilaporkan turut bersependapat dengan kedua-duanya bahawa ia adalah langkah dan masa terbaik untuk Enrique berlalu pergi.

Dalam pada itu, Enrique dikatakan secara diam-diam mempercayai dia harus mencapai kejayaan lebih besar musim ini – termasuk menidakkan Real Madrid daripada menjuarai LaLiga – andai pemain-pemain memberinya sepenuh sokongan sebagaimana ketika dia mula mengambil alih tiga musim lalu.

Dilaporkan juga bahawa di sebalik skuad Blaugrana memenangi purata tiga trofi semusim, pemain-pemain tidak menyokong sepenuhnya stail permainan pengurus berusia 47 tahun itu, dengan sesetengah mereka mahukan dia berundur seawal Januari 2015 lagi.

Kini terserah kepada Ernesto Valverde, yang sudah dinamakan sebagai pengganti, untuk meniupkan angin perubahan kerana bola sepak Eropah, dan dunia amnya, tidak mampu untuk pasukan sehebat Barcelona terus mengharungi zaman suram.

 

Advertisement

Must Watch Video