Skip to main content

Rencana

Bantah e-sukan tapi akur kepada realiti

syed-saddiq-esports-malaysia.jpg
Industri e-sukan diiktiraf menjadi salah satu sukan di Sukan SEA 2019, Filipina. 

Ia akan menawarkan enam pingat emas dalam tiga acara iaitu dua menggunakan konsol dan selebihnya telefon bimbit dan komputer.

Dalam dunia yang berteknologi tinggi, e-sukan menarik minat berbilion pengikut di dunia dan majalah Forbes menyatakan ia telah membawa pendapatan sebanyak USD900 juta bagi tahun 2018 dan dijangka terus berkembang.

Masyarakat dunia terutama sekali para atlet memberi pandangan berbeza akan fenomena ini. 

Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan telah mengumumkan bajet RM10 juta untuk membangunkan industri e-sukan. 

Komuniti sukan Malaysia memberi pandangan yang bercampur. Ini antara luahan mereka. 

1. Nauraj Singh (Atlet lompat tinggi negara)
E-sukan memang menarik tetapi Malaysia dalam situasi kewangan yang amat ketat, lebih baik bantuan kewangan disalurkan kepada sukan-sukan elit lain yang lebih memerlukan sokongan. 

2. Ng Eain Yow (Pemain skuasy negara)
Saya kurang pasti tentang e-sukan. Sememangnya kita perlu ikut peredaran zaman dan mengharapkan pingat di temasya tapi saya masih mempertahankan bahawa fokus utama harus diberikan kepada para atlet dalam sukan normal. 

3. Dr. Mohamad Faithal Hassan (Pensyarah Pusat Sukan UM)
Secara peribadi saya kurang setuju e-sukan diterima sebagai salah satu cabang sukan tanpa kita terlebih dulu membuat kajian mendalam kesesuaian sukan ini Malaysia. Kesan e-sukan kepada perkembangan mental dan fizikal remaja amat membimbangkan dan sudah tentu kita inginkan anak-anak muda aktif bersukan secara fizikal berbanding terpelusuk di atas kerusi di depan monitor.

Tetapi kegilaan sukan ini disebabkan ia cukup menarik dan asas kewangan yang kuat serta sokongan pengeluar perisian berkaitan dengan video games maka sukan ini cepat berkembang.

4. Daphne Ng (Jurulatih badminton)
E-sukan sepatutnya tidak boleh diiktiraf sebagai sukan. Namun perlu akur bahawa kita hidup dalam zaman berteknologi dan industri berkembang seperti cendawan. Ia masih memerlukan skil, kebijaksanaan strategi dan sedikit pergerakan fizikal. Jadi mungkin disebabkan itu e-sukan dipanggil sukan.

5. Pushppa Devi (Penggiat sukan wanita)
E-sukan lebih menghancurkan minda generasi muda yang ketagih bermain video games. Sukan sepatutnya melibatkan latihan fizikal menyeluruh bagi gaya hidup yang sihat. 
Tetapi apa boleh buat sebab ia berpeluang meningkatkan ekonomi Malaysia.  
Apapun masih tidak setuju kerana memberi implikasi sosial kepada negara. 

6. Haresh Deol (Pengarang laman berita Twentytwo13)
E-sukan memang meletup dan merupakan industri yang amat besar. Namun baru-baru ini fokus oleh Menteri KBS kepada e-sukan memberi persepsi kepada kebanyakan komuniti sukan bahawa idea itu lebih mendorong kepada masyarakat muda yang kurang aktif bersukan. Penting untuknya berkongsi dan fahamkan kepada semua pelan pembangunan e-sukan negara. 
e-sukan boleh mendatangkan pendapatan tetapi begitu juga industri sukan lain. Persoalannya nak membangunkan pemain atau pengeluar barangan e-sukan?

Advertisement

Must Watch Video