Skip to main content

Advertisement

Rencana

Bale -- Kau pergi jua

bale-cover-pix.jpg
 Tatkala musim baru LaLiga hampir bermula, masa depan Gareth Bale di Real Madrid – kelab yang disertainya dengan yuran rekod dunia £87.5 juta (RM466 juta) pada 2013 – terus kekal malap.

Ketiadaan kelab luar yang sanggup membayar gajinya setinggi £600,000 (RM3.2 juta) seminggu, menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu terus ‘mereput’ di Santiago Bernabeu, tambahan pula pengurus, Zinedine Zidane, sudah hilang kesabaran dan kepercayaan terhadapnya.

Sesi latihan keenam Real Madrid untuk minggu ini berlangsung di Valdebebas, Sabtu lalu, tetapi bintang Wales itu masih belum menjejakkan kaki ke padang walaupun sekali.

Bale baru terlibat dalam kedua-dua perlawanan Wales dalam Kumpulan B Liga Negara-Negara UEFA yang berkesudahan dengan dua kemenangan untuk pasukannya ke atas Finland dan Bulgaria.

Dia hanya mampu bermain selama 45 minit dalam perlawanan pertama tetapi kemudian kekal sepanjang 90 minit penuh perlawanan kedua tanpa sebarang rasa tidak selesa.

Biarpun begitu, Bale kembali ke Madrid dengan kecederaan lutut yang menghalangnya daripada berlatih dengan rakan sepasukannya yang lain -- satu situasi yang menimbulkan kemungkinan untuk dia meninggalkan Los Blancos.

Harus keadaan tidak banyak membantunya kerana Zidane telah menegaskan yang Bale bukanlah sebahagian rancangannya di sebalik pemain berjersi nombor 11 itu telah membantu The Galacticos meraih himpunan gelaran, termasuk empat trofi Liga Juara-Juara.

Seperti dilaporkan akhbar harian sukan Sepanyol, Marca, kedua-dua jurulatih dan pemain berharap agar jalan penyelesaian dapat ditemui sebelum penghujung jendela perpindahan 5 Oktober ini.  

Daripada segi kontrak, Bale masih tetap kekal sebagai pemain Real Madrid, namun tanda-tanda kehadirannya masih tidak kelihatan di kelab tersebut.

Mungkin Real Madrid tidak lagi mahu berhubung kait dengannya atau mungkin Bale sendiri tidak lagi mahu terlibat dengan kelab berkenaan. Semua pihak masih menantikan penyelesaian bagi situasi rumit di ibu kota Sepanyol ini.

Tawaran kukuh masih lagi belum tiba. Biarpun Bale mahu meninggalkan kelab itu, dia juga sebenarnya tidak mampu dihalang untuk menghabiskan saki-baki dua tahun terakhir kontraknya di Santiago Bernabeu – sekalipun tanpa bermain walau seminit.

Kembalinya Bale ke Real Madrid empat hari lalu selepas tugasan antarabangsa bersama Wales, disusuli pernyataan bahawa dia tidak mungkin menjalani latihan gara-gara kecederaan lututnya, sebaliknya sekadar berlatih di gimnasium dan langsung tidak terlibat dengan mana-mana sesi latihan kendalian Zidane.

Tidak ada sebarang maklumat perubatan yang diperoleh kerana Bale melarangnya daripada didedahkan.
 
Bagi Real Madrid pula, mereka tetap meneruskan perjalanan tanpa Bale yang tidak lagi mereka pedulikan.
 

Jersi Bale tidak lagi dipamerkan di kedai kelab kecuali melangkau dari nombor 10 milik Luca Modric
terus ke jersi nombor 12 milik Marcelo.

Imej Bale turut tidak digunakan untuk mempromosikan jersi baru Real Madrid. Biarpun imej Karim Benzema, Marcelo, Sergio Ramos dan Marco Asensio dapat dilihat, imej Bale pula langsung tiada.

Langsung tidak ada sebarang imejnya yang dipaparkan di Valdebebas. Dia mengunjungi gimnasium tetapi tidak ada sesiapa yang mempamerkan gambarnya.

Jelas sekali pengakhiran buatnya sudah terlalu hampir.

Barangkali terbaik buat kedua-dua pengurusan Real Madrid dan Bale sendiri agar perkembangan mutakhir bahawa Tottenham Hotspur sedang mengusahakan kepulangannya ke kelab itu, akan menjadi kenyataan akhirnya.

Seakan-akan sudah terdengar rintihan kelegaan penyokong Los Blancos, “Kau pergi jua, Gareth Bale.”
 
 

Advertisement

Must Watch Video