Skip to main content

Rencana

Badrul Hisham, kamu boleh dan boleh!

300716-badrul-hisham-kdt-fb-sdr-1.jpg
Ia harus diterima sebagai lumrah alam -- yang menang dijulang dan dipuja sambil yang kalah diabai dan tidak diendahkan.

Betapa ketentuan nasib atau meminjam kata-kata Badrul Hisham Abdul Manap sendiri, “ini dah rezeki”, menyaksikan peranan yang berubah mendadak hanya dalam tempoh lapan bulan.

Pada November 2015, Badrul Hisham adalah “raja” – raja pecut baru negara bersandarkan kepantasan 10.29 saat catatannya ketika memenangi acara 100 meter, Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei  – meleburkan akhirnya rekod kebangsaan 10.30 saat milik Watson Nyambek yang dipertahankan selama 17 tahun sejak 1998.

300716 badrul Hisyam - kdt FB -2Pada waktu itu, Khairul Hafiz Jantan tiada pun dalam gambaran sesiapa.
 

Detik gemilang itu sememangnya milik Badrul Hisham yang diarak ke mana-mana, disanjung dan dipuja di samping bukan sedikit acara sambutan yang seakan-akan menabalkannya selaku raja.

Lepas satu-satu temubual media dan sambutan kejayaan menjadi itinerari hariannya hingga harus menjejaskan jadual latihan serta fokusnya untuk mencipta kejayaan lebih besar.

Sama ada Badrul Hisham hanyut dikhayalkan oleh status baru sebagai idola ramai atau lemas dek kehujanan pujian, berjabat tahniah, tepukan di belakang serta dakapan erat pelbagai golongan, hanya dia sendiri mempunyai jawapannya.

Namun, status 'selebritinya' bertahan lebih dua bulan cuma.

Tepatnya, pada tanggal 6 Februari 2016, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengumumkan ia tidak mengktiraf catatan 10.29 saat milik Badrul Hisham dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei itu sebagai rekod baru kebangsaan gara-gara sebab teknikal lantaran kecuaian pihak penganjur.

Harus dunia tiba-tiba dirasakannya gelap-gelita, dengan segala keraian dan keriuhan yang berulang-tayang di dalam mindanya sebelum itu tinggal kenangan yang samar-samar sebelum luput sekelip mata.

Bukan salah Badrul Hisham pun itu yang berlaku, namun seperti yang diungkapkannya “dah bukan rezekinya”.

Kesan mendalam daripada episod malang itu ditanggung Badrul Hisham bersendirian pada ketika ramai yang sebelumnya memuji, tidak pun lagi menawarkan simpati.

Sejak itu, graf pecutan pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu merudum tanpa banyak bayangan peningkatan selepas itu.

Dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang pada bulan Mac, dia sekadar mencatat 10.55 saat sekalipun bergelar juara – lebih perlahan daripada 10.34s yang dilakukannya dalam separuh akhir.

Sebulan selepas itu, Badrul Hisham mengungguli acara 100m dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Jemputan Filipina dengan catatan sedikit lebih baik, 10.39 saat.

Dua kejohanan berturut-turut selepas itu benar-benar menyerlahkan kesan psikologi yang membelenggu Badrul Hisham susulan pembatalan ‘rekodnya’. 

Kejohanan Olahraga Remaja Asia Ke-17 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam pada 4 Jun, menampilkan pesaingnya, Khairul Hafiz, selaku juara dengan masa 10.36 saat, sambil Badrul Hisham sendiri terkial-kial di tempat kelima dengan catatan perlahan, 10.54 saat.

Bayangkan julat perbezaannya – 10.29 saat pada November dan 10.54 saat berselang kira-kira enam bulan. Pastinya ada sesuatu yang tak kena.

Seterusnya, Khairul Hafiz terus mencetus sensasi dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland pada 19 Julai dengan menempah slot separuh akhir dengan kepantasan 10.44 saat. 

Badrul Hisham? Dia terkandas di peringkat saringan lagi apabila sekadar mendapat tempat kelima dengan masa yang perlahan, 10.66 saat.

Mengambil kira graf sedemikian, tidak ramai sedar catatan 10.36 saat Badrul Hisham untuk meraih gangsa dalam Sukan Malaysia (Sukma) XVIII, sebenarnya adalah satu peningkatan juga dan harap-harap ia adalah permulaan pendakiannya secara beransur-ansur selepas ini.

Lebih daripada mengharapkan simpati, Badrul Hisham, pada tanggapan saya, lebih memerlukan suntikan motivasi.

Seperti diakui Khairul Hafiz, persaingan peribadi di antara kedua-dua anak Melaka ini yang mendorongnya kepada catatan 10.18 saat tempoh hari.

Dan seperti mana dirinya, Badrul Hisham hendaklah dibantu untuk bangkit kembali kerana pada kedua-duanya, Malaysia boleh menyandarkan harapan untuk kejayaan lebih membanggakan selepas ini.

Buat Badrul Hisham, saya percaya “rezeki” anda masih ada. 

Kredit gambar: Koleksi peribadi Badrul Hisham Abdul Manap

Advertisement

Must Watch Video