Skip to main content

Rencana

Awas Selangor, Rahmad bukan seorang ‘dermawan’

21716darmawan.jpg
Dia pernah diancam untuk dipecat tetapi putaran roda kehidupan kini mungkin menyaksikan Rahmad Darmawan berkelana lebih lama di Kuala Terengganu.

Sebagai seorang yang memiliki pelbagai bakat, Rahmad, 50, atau singkatannya, RD, harus menerbitkan gementar rakan sejawatannya, K. Gunalan, apabila T-Team melakukan perhitungan dengan Selangor dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Topi besbol tidak pernah lekang daripada kepalanya sebagai identiti tersendiri, begitu juga harapan besar dan optimisme tidak pernah menjauhi bekas ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun Indonesia ini.

Usah bercerita soal kepayahan kepadanya kerana RD sudah jenuh bergelumang dengannya dan ketika pasukan abang sulung, Terengganu, sudah bersilih-ganti jurulatih – daripada Ahmad Yusof kepada Mike Mulvey kepada Mustafa Kamal Abd Wahab – Rahmad, yang dilantik pada November 2015, kekal membimbing pasukan yang boleh diumpamakan ‘adik tiri’, T-Team, dengan bermodalkan pilihan pemain terhad dan bajet jauh lebih kecil.

Dengan kedudukan kelima dalam Liga Super dan suku akhir Piala Malaysia sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) ke atasnya, dia sudah mengatasi satu – T-Team sudah pun berada dalam separuh akhir Piala Malaysia – dan satu lagi tidak terlalu jauh daripada jangkauan.

T-Team, yang kini menghuni tangga ketujuh dengan 26 mata dan terjamin tempatnya dalam Liga Super musim depan, hanya berbeza dua mata di belakang Kelantan dan Selangor, masing-masing di tangga keempat dan kelima, hasil himpunan 28 mata dengan berbaki satu perlawanan pada 22 Oktober ini.

Namun, kedudukannya pernah umpama ‘telur di hujung tanduk’ ketika masalah kecederaan, keterbatasan pilihan kesebelasan serta pelapis muda yang tidak menjadi, menyaksikan T-Team mengharungi lapan perlawanan tanpa kemenangan di antara April dan Julai lalu.

Anehnya, ketika diuar-uarkan pengurusan berura-ura memecatnya, timbul pula suara-suara sumbang kononnya RD yang sengaja mengundang pemecatan gara-gara dipancing Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan republik itu – jawatan yang kesudahannya diisi jurulatih dari Austria, Alfred Riedl.

“Rentetan delapan laga tanpa kemenangan adalah salah satu momen terburuk saya sebagai seorang pelatih… semua yang kami lakukan gagal meningkatkan performa kami,” katanya sebagaimana dipetik laman sesawang bola.com.

“Memang ada tawaran dari PSSI yang meminta saya memulai tugas pada bulan Agustus, namun saya tidak mungkin akan meninggalkan T-Team,” ungkap RD.

“Saya cukup menghargai kerja saya bersama T-Team, dan masih ada kontrak bersama tim ini (sehingga akhir November ini). Semua terserangan kepada manajemen. Yang pasti, saya senang tinggal di sini [Terengganu].”

Berbalik kepada separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini, dengan ketinggalan 1-2 daripada perlawanan pertama, RD akan dikerah menyerlahkan segala helah dan kepintarannya jika inginkan T-Team yang menghiasi perlawanan akhir nanti sambil menafikan ulangan final Selangor-Kedah musim lalu.

Kepada yang mengikuti rapat perkembangan RD, harus tidak ramai yang akan mempersoalkan kemampuan jurulatih ini untuk mengadaptasi diri dan pasukan bimbingannya terhadap cabaran besar yang menanti.

Layari bola.com dan anda akan mendapati sisi berbeza RD yang jarang diketahui, antaranya bakat terpendamnya dalam nyanyian – ada video dia memetik gitar sambil menyanyikan sebuah lagu kumpulan Black Brothers – selain bakat lakonannya sebagai seorang ejen rahsia di Malaysia.

Harus disimpulkan bahawa apabila untung nasib pasukannya yang menjadi pertaruhan, Rahmad akan menyalahi namanya sendiri dengan jauh daripada menjadi seorang dermawan kepada Selangor.

Sebaliknya, diandaikan pasukannya yang menempa nama sebagai pasukan kelab keempat – selepas MPPJ pada 2003, ATM pada 2012 dan JDT pada 2014 – mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, maka buat T-Team, RD adalah “rahmat” yang dihargai mereka.

Advertisement

Must Watch Video