Skip to main content

Rencana

Asmaradana di atas ais cetus sensasi (bhg 2)

sexonice-(bhg-2c).jpg
Empat tahun lalu, pasangan penari ais Kanada, Tessa Virtue dan Scott Moir, berasakan mereka tidak akan bertanding dalam Sukan Olimpik lagi.

Tetapi dengan bantuan jurulatih-jurulatih baru di Montreal, kedua-duanya menyambar pingat emas di Pyeongchang, Selasa lalu, setelah mengatasi pasangan Perancis, Gabriella Papadakis dan Guillaume Cizeron, dengan perbezaan hanya 0.79 mata.

Dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi pada 2018, Virtue-Moir meraih pingat perak di belakang duo Amerika Syarikat, Meryl Davis dan Charlie White.

Ia harus satu kekecewaan setelah pasangan itu memenangi emas buat kali pertama dalam temasya Vancouver, empat tahun terdahulu.

“Kami benar-benar percaya Sochi adalah yang terakhir,” kata Virtue seperti dilaporkan oleh BBC News.

Virtue dan Moir bersepakat ia adalah masa untuk mereka berundur – dengan Virtue mahu menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang psikologi sambil Moir, 30, mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, termasuk abangnya yang juga bekas penari ais, Danny. 

Namun, pada lewat 2016, kedua-duanya mengumumkan akan kembali ke gelanggang pertandingan dengan menyasarkan Pyeongchang 2018 – sesuatu yang mengejutkan khalayak peluncur ais ketika itu. 

Selepas merosot daripada pingat emas kepada pingat perak, kenapa mahu mengambil risiko kekalahan pada 2018? 

Tapi apa yang tidak dijangkakan rakan mahupun lawan, Virtue dan Moir bukan sekadar kembali bertanding, malah mendominasi sukan itu untuk dua tahun berikutnya. 

Mereka tidak tewas sepanjag musim 2016-17, dengan menjuarai Kejohanan Dunia pada Mac dengan catatan rekod baru 198.62 mata.

Berselang beberapa bulan pada Disember lalu, duo Papadakis-Cizeron mengalahkan mereka buat kali pertama untuk menjuarai Grand Prix Figure Skating dengan catatan rekod dunia 202.16 mata, mengatasi Virtue-Moir dengan perbezaan hanya 2.3 mata. 

Kekalahan mereka bukan memeranjatkan, apatah lagi kedua-dua pasangan itu berlatih bersama di Montreal di bawah pengawasan jurulatih legenda tarian ais, pasangan suami-isteri Marie-France Dubreuil di samping Patrice Lauzon dan Romain Haguenauer.

“Kami melatih mereka lima jam sehari yang meluangkan mereka masa untuk mengenali kekuatan dan kelemahan satu sama lain,” kata Dubreuil yang menyimpulkan Papadakis-Cizeron memiliki stail yang elegan sambil Virtue-Moir dikenali kerana keghairahan yang mereka tampilkan di atas gelanggang.



Perbezaan di antara kedua-dua pasangan itu lebih ketara dengan pilihan muzik iringan masing-masing di Pyeongchang – pasangan Perancis itu melakukan gerak tari mengikut Moonlight Sonata oleh Beethoven manakala pasangan Kanada itu dirasuk oleh El Tango De Roxanne daripada filem muzikal Moulin Rouge.

Apa yang menjadi pertaruhan dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk kali ini juga amat besar, dengan Papadakis-Cizeron membuat penampilan sulung manakala Virtue-Moir memburu emas kedua mereka serta status selaku pasangan terhebat dalam sejarah sukan ini.

Virtue-Moir mendapat suntikan semangat awal pada Ahad lalu apabila membantu Kanada meraih emas berpasukan figure skating. Papadakis-Cizeron pula tidak turut serta yang menyaksikan Perancis di tangga terakhir.

Kemudian, dalam disiplin short skate, Isnin lalu, Papadakis mengalami igauan terburuk apabila sebahagian blausnya terlucut hingga mendedahkan sebelah payudaranya, namun meneruskan persembahan untuk meraih tempat kedua dengan 81.93 mata di belakang Virtue-Moir (83.67 mata).

“Ia igauan terburuk saya dalam Olimpik, namun saya memberitahu diri saya untuk meneruskan persembahan tanpa menghiraukannya,” kata Papadakis. “Kami harus berbangga dengan persembahan hebat kami.”

Apabila tiba kepada disiplin free skate – acara perdana dalam tarian ais – tiada lagi ulangan insiden mengaibkan.

Papadakis-Cizeron benar-benar memukau dengan catatan rekod dunia 123.35 mata tetapi Virtue-Moir (122.40 mata) selaku peserta terakhir meriuhkan suasana di Gangneung Ice Arena itu dengan persembahan romantis dan mengghairahkan.
 
Kesudahannya, jumlah mata keseluruhan Papadakis-Cizeron tidak cukup untuk mengatasi pasangan Kanada itu.

Pada penghujungnya, pingat emas acara itu mengangkat Virtue-Moir selaku pasangan penari ais paling gemilang dalam sejarah Olimpik yang mungkin disusuli oleh pengumuman persaraan mereka selepas ini.

“Saya mahu katakan bagaimana kami mahu diingati ialah dengan merangsang generasi seterusnya, baik kepada rakyat Kanada atau sesiapa saja di dunia. Harap-harap tarian ais sudah meningkat ke satu tahap baru,” kata Moir.

Andai benar mereka akan berundur, asmaradana Virtue dan Moir di atas gelanggang tarian ais Pyeongchang akan terus dikenang.

Advertisement

Must Watch Video