Skip to main content

Advertisement

Rencana

Asah penggempur dulu Solskjaer

cover-photo.jpg
Kempen hebat Manchester United sejak kehadiran Ole Gunnar Solskjaer, Disember lalu, akhirnya tamat susulan kekalahan 2-0 di tangan Arsenal awal pagi semalam.

Situasi yang meletakkan Arsenal kembali ke kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris itu membuatkan perebutan dua slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan semakin hangat tatkala Tottenham Hotspurs yang berada di tempat ketiga tewas 2-1 di tangan Burnley sehari sebelumnya serta Chelsea (keenam) masih memiliki kelebihan satu perlawanan dan The Red Devils yang kini menghuni tangga kelima.

Walaupun Solskjaer hadir ke Emirates dengan catatan hebat selaku pengendali -- mengisi kedudukan kedua selaku pengurus yang meraih kadar kemenangan tertinggi dalam lima liga utama Eropah musim ini di belakang Pep Guardiola (Manchester City) -- jelas Unai Emery lebih bersedia.



Kekalahan ketika aksi pusingan keempat Piala FA sebelum ini ternyata menjadi pemangkin buat The Gunners untuk membalas dendam sambil perkara itu diakui penjaga gol, Bernd Leno.

"Anda tidak akan lupakan sesuatu seperti itu (merujuk tarian Jesse Lingard sewaktu meraikan jaringan dalam pertemuan sebelum ini) dan tidak mahu menyaksikannya lagi. Jadi, ia memberi kami motivasi," kata Leno.

Jadi, apa faktor sebenar yang membawa kepada kekalahan United di Emirates?

-- gambar Arsenal United --

Barisan depan United yang diperkuatkan oleh Marcus Rashford dan Romelu Lukaku hadir ke Emirates dengan satu rekod yang boleh dibanggakan, iaitu selaku pasukan yang menduduki tempat teratas carta peratusan percubaan tepat dalam kalangan pasukan bagi lima liga utama Eropah.

Namun, apa ertinya jika sebuah pasukan yang menduduki tempat keempat bagi jumlah gol tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris memegang status itu? Jawapannya sudah tentu ketumpulan penyudah.



Di Emirates, Lukaku melepaskan dua peluang keemasan sambil Rashford dilihat terganggu dengan ejekan penyokong lawan sehingga gagal menterjemahkan deretan peluang -- termasuk senjata utama, sepakan percuma -- untuk menghasilkan gol.

Di sebalik kecemerlangan yang dipamerkan di bawah bimbingan Solskjaer, United juga masih gagal untuk mendapatkan penguasaan bola ketika berdepan kelab gergasi sehingga membawa kepada kesukaran untuk melancarkan serangan.

Sebelum ini, mereka menewaskan Spurs 1-0 tetapi hanya mengawal 39 peratus perlawanan, mengatasi Arsenal 3-1 (kawalan 37 peratus), menundukkan Chelsea 2-0 (kawalan 33 peratus) serta kemenangan 'teragung' musim ini, mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara menerusi kebangkitan menakjubkan tetapi hanya mengawal 28 peratus permainan.



Mungkin penguasaan bola dalam sesebuah perlawanan tidak memberi sebarang makna sekiranya kemenangan gagal dicipta tetapi ia mampu membantu dalam mendapatkan keputusan yang diinginkan. Sebagai contoh, lihat sahaja corak permainan Manchester City.

"Kami menang dalam perlawanan yang tidak layak untuk dimenangi tetapi kali ini, kami tewas dalam aksi yang tidak seharusnya kami kalah," ujar Solskjaer.



Solskjaer diakui telah banyak memulihkan semangat dalam kem United dan dia sendiri menyifatkan kekalahan pertama di peringkat domestik itu sebagai situasi paling bawah pernah dilaluinya sejak kembali ke Old Trafford, namun ungkapannya selepas perlawanan itu pasti akan memberi suntikan semangat untuk United membuktikan mereka masih salah sebuah kelab gergasi di England.

Advertisement

Must Watch Video