Skip to main content

Rencana

Apakah empayar Portugal kembali menakluki dunia?

portugal.jpg
Sesetengah peminat menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

Ada juga peminat yang menyokong pasukan underdog.

Segelintir pula memahami bahawa kadang-kadang sentimen wujud dalam bola sepak.

Portugal akhirnya menjadi negara ke-10 menjulang trofi Henri Delaunay – lambang kemegahan Kejohanan Negara-negara Eropah (pada asalnya) yang kini digelar Euro.

Diketuai Cristiano Ronaldo, Portugal menundukkan tuan rumah Perancis 1-0, sekali gus memadam igauan dan mimpi buruk negara teluk Iberia itu sejak dari zaman Eusebio pada 1960-an.

Selain tewas dalam final di laman sendiri pada Euro 2004, Portugal kerap kecundang di peringkat separuh akhir.

Pada Piala Dunia 2006, penalti Zinedine Zidane meleburkan harapan Portugal bimbingan Luiz Felipe Scolari.

Pada separuh akhir Euro 2000, Zidane menyempurnakan penalti ke sudut yang sama yang juga golden goal sesudah umpanan Sylvain Wiltord terkena tangan bek tengah Portugal, Abel Xavier.

Portugal mara ke separuh akhir Piala Dunia 1966 pada era Eusebio sedang memuncak 


Sebelum Ronaldo menjulang trofi Euro 2016 di Stade de France, satu-satunya gelaran Portugal di persada dunia ialah Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun yang diusahakan oleh Generasi Emasnya Luis Figo, Rui Costa dan Joao Pinto pada 1989 dan 1991.

Figo dan Costa menangisi kekalahan di tangan Greece pada 2004.

Skrip memadam kekecewaan ini bukan baharu.  

Sepanyol yang didorong oleh Luis Suarez muncul juara Euro 1964 tetapi tenggelam lebih empat dekad, termasuk tewas kepada Perancis pada final Euro 1984, sebelum kembali garang semerah jersi mereka dengan kejayaan 2008, 2010 dan 2012.

Perancis pula menduduki tangga ketiga Piala Dunia 1958 tetapi terpaksa menunggu sehingga 1982 untuk mara ke separuh akhir kejohanan yang sama.

Kemerosotan menyelit di antara kejayaan Euro 1984 dan kegemilangan Piala Dunia 1998 dan Euro 2000. Bayangkan Perancis tewas kepada Jerman Barat pada separuh akhir Piala Dunia 1986, gagal layak ke Piala Dunia 1990 dan 1994 serta kecundang di peringkat kumpulan pada Euro 1992 sekalipun dibimbing legendanya, Michel Platini. 

Portugal sudah melepasi tembok mental ini. Sebagaimana Sepanyol dan Perancis, Portugal negara yang ghairah tetapi emosional – Latin dalam emosi dan cara berfikir walaupun memiliki empayar luas di Asia dan Afrika berkurun yang lalu.

Namun mereka sudah menggabungkan kekuatan fizikal dan mentaliti berpandukan kemenangan untuk melakar kejayaan di Stade de France.

Isunya kini sama ada Renato Sanches dan rakan seangkatannya mampu meneruskan legasi Ronaldo atau tidak!
 

Advertisement

Must Watch Video