Skip to main content

Rencana

Apabila dipanggil menghadap TMJ

161016denganizin.jpg

ANTARA cabaran paling getir apabila mengendalikan program Dengan Izin berkonsepkan bual bicara kasar dan jujur ialah menyenaraikan tetamu yang sudi menduduki kerusi panas itu.

Program setengah jam yang mula ke udara sejak 2011 masuk musim keenam dua minggu lalu, dengan menampilkan ketua kontinjen ke Sukan Olimpik 2016, Tan Sri Al Amin Abdul Majid, selaku tetamu sulung.

Ini disusuli ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi dan jaguh bina badan, Sazali Abdul Samad.

Sejak penerbit kanan Slamet Sazly Yakub mengilhamkan program ini dengan berpandukan program Hard Talk di BBC kendalian Stephen Sackur, satu senarai panjang orang kenamaan yang memegang jawatan dalam sukan disediakan dengan harapan kesemuanya dapat memenuhi pelawaan.

Sekalipun nama program Dengan Izin -  istilah rasmi yang digunakan oleh Ahli Parlimen sama ada dalam menggunakan bahasa selain Bahasa Malaysia di Parlimen atau mohon mencelah -  konsep sebenar program ialah menyoal siasat tetamu. Hos diberi lesen oleh penerbit untuk mencelah, berdebat dan melontarkan soalan. Dengan Izin sebenarnya bertunjangkan konsep Tanpa Izin!

Dengan Izin menerima reaksi dan maklum balas berbeza apabila bersiaran buat kali pertama dengan tiga tetamu awal Razif Sidek, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ahmad Ismail, pada 2011. Bagi sesetengan audiens mereka menganggap Dengan Izin satu wadah pembuka mata kerana soalan yang dilontarkan bersifat terus terang dan kasar. 

Ada pula yang menganggap penulis bersikap kurang ajar dan tiada adab kerana tidak memberi ruang tetamu menjawab mengikut rentak mereka. Mengambil kira pandangan penonton, penerbit eksekutif, Slamet Sazly Yakub yang mencetuskan idea program ini, memutuskan untuk memberi ruang yang lebih kepada tetamu untuk musim seterusnya.

Bukanlah mudah meletakkan tetamu dalam kerusi panas, apatah lagi mereka bertaraf VIP, antaranya  Annuar, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Tan Sri Elyas Omar dan Tan Sri Abdul Razak Latiff. Terlalu banyak episod yang tidak mungkin dilupakan antaranya secara langsung bersama Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan temu bual kedua dengan Khairy Jamaluddin yang pada asalnya satu jam menjadi satu setengah jam.
 
Banya kisah di sebalik tabir dalam menerbitkan program ini. Setakat ini selain Slamet, turut menerbitkan program ini ialah Sollehuddin Hemsani dan bekas pelari pecut, S. Narendran, yang tidak lagi bersama Astro Arena. 

Proses mengundang kadang kala mengambil masa lebih sebulan, bermula dengan pertemuan empat mata secara tidak rasmi, disusuli surat jemputan menerusi emel dan perbincangan menerusi aplikasi telefon pintar.

Sejak 2011, ramai juga yang menolak pelawaan kami. Penulis banyak kali mengundang Sultan Ahmad Shah dan anakandanya, Tengku Abdullah, untuk Dengan Izin. Sama ada menghadap di Wisma FAM, Istana Pahang di Kuala Lumpur atau pejabat Tengku Abdullah, jawapan yang diterima – akan dipertimbangkan.  

Antara yang enggan atau keberatan menjadi tetamu Datuk K. Rajagobal, Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Datuk Karim Ibrahim dan Datuk S. Sivasundaram.

Satu-satunya siaran langsung Dengan Izin menampilkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim pada 2014, beberapa hari menjelang Kongres Pemilihan FAM 
Tahukah anda penulis dipanggil menghadap TMJ ke sebuah hotel terkemuka di ibu kota untuk bertukar pandangan dengan Tunku Ismail selama hampir tiga jam, disaksikan bekas pengurus penjanaan pendapatan Astro Arena, Azman Fahmi Osman dan bekas ketua pemasaran JDT, Ayani Ismail?

Apa yang berlaku dalam pertemuan itu akan penulis dedahkan satu hari nanti, dengan izinNya.

Di saat ada segelintir pemimpin sukan yang menolak pelawaan atas pelbagai alasan, syabas kita ucapkan kepada semua tetamu yang datang sekalipun menyedari soalan diajukan keras dan kadangkala mencelah tanpa memberi ruang tetamu habis berbicara!

Penulis mengundur diri, Dengan Izin!

Advertisement

Must Watch Video