Skip to main content

Rencana

Apa yang hangpa tak puas hati ni?

pulau-pinang.jpg
Rasa ‘bengkak’ di hati peminat fanatik pasukan Pulau Pinang akhirnya diterjemahkan semalam sewaktu perlawanan Liga Super di Stadium Batu Kawan bertemu Sarawak di mana mereka tewas dengan jaringan tipis 1-0.

Namun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah ekspresi peminat di luar padang yang seolah-olah telah lama menyimpan perasaan tidak puas hati.

Ada yang mengatakan mereka tidak berpuas hati mengenai mutu pengadilan, ada juga cakap-cakap belakang yang mengatakan mereka tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan.  

Rusuhan turut berlaku sejurus selepas perlawanan dengan peminat dikatakan membaling mercun, membakar suar dan membaling botol air untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Sebelum bermulanya liga tahun ini, penyokong Pulau Pinang sudah terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila melancarkan petisyen tidak puas hati dengan rekaan jersi yang dikatakan amat buruk dan tidak kreatif.

Rasa marah semakin membuak-buak apabila Pulau Pinang tewas kesemua perlawanan Liga Super musim ini, ditambah pula kes penggantungan jurulatih mereka, Ashley Westwood, dan juga isu dalaman FA Pulau Pinang sendiri yang dikatakan tidak tahu mentadbir pasukan bola sepak.

Namun, kejadian rusuhan di stadium semalam adalah bukti bahawa penyokong Harimau Kumbang sudah muak dan hilang sabar dengan isu-isu berbangkit, namun penulis berasakan empat kekalahan berturut-turut musim ini adalah punca utamanya.

Tiada kemenangan dan prestasi hambar yang dipamerkan secara tidak langsung turut melibatkan krisis dalaman pasukan dan pucuk pimpinan yang dianggap tidak tahu mentadbir oleh segelintir penyokong pasukan Pulau Mutiara itu.

Daripada sumber dalaman yang diperoleh, dikhabarkan peminat mahukan pucuk pimpinan sedia ada keluar dari FAP kerana mereka tidak mahukan pimpinan kini mencampuradukkan sukan dan politik.

Pun begitu, penulis berharap agar kejadian sama tidak berulang lagi dan penyokong Pulau Pinang dapat meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara terhormat agar perubahan dapat dilakukan demi kebaikan bersama.

Advertisement

Must Watch Video