Skip to main content

Rencana

Apa beza 10-1 dan 9-2?

skuad-terjun-negara-berkelas-dunia-kj.jpg

9-2. Satu jurang kekalahan yang besar sebenarnya. Sebagaimana pasukan bola sepak negara tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu. Satu aib yang sehingga hari ini meninggalkan luka yang sakitnya tidak terperi.

Itu jumlah undian yang terakam apabila Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengundi untuk sama ada Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan diadakan serentak dengan Sukan Para Asean.

Cadangan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) ialah Malaysia menganjurkan Sukan Para Asean dan Sukan SEA serentak dengan nama Sukan Asean 2017.

Dari sudut pemasaran, idea menggabungkan dua temasya sukan berskala besar adalah sesuatu yang baik.

Penganjur harus mampu mencari sumber tajaan dengan menjadikan kaedah dan perancangan pemasaran bersandarkan kepada satu produk yang bersepadu.

Namun dalam dunia dan politik sukan, sentimen memainkan peranan.

Sekalipun Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) bersetuju dengan cadangan Kuala Lumpur, SEAGF menolak terus bida yang dibentangkan Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC).

Kalau dalam kes membida untuk sesuatu cadangan, usul atau pelantikan negara penganjur, adalah menjadi amalan sampul surat diselitkan ke bawah pintu kamar hotel penginapan perwakilan. Kandungan sampul surat itu pelbagai.

Hakikatnya sekurang-kurangnya pelobi harus ada sentuhan peribadi atau personal touch.

Lazimnya pegawai sukan yang ada pengaruh membuat kerja-kerja di sebalik tirai. Sebab itu penting pegawai yang pengaruhnya bukan sekadar dalam sukannya sahaja. Sebab itu juga penting individu-individu yang ada pengalaman menyelitkan diri ke dalam persatuan atau persekutuan antarabangsa.

Dalam Sukan SEA, tradisinya sukar digugat. Sejak 1959, temasya sukan yang mempertemukan semua anggota rantau Asia Tenggara dianjurkan setiap dua tahun dengan penuh sukses.

Hanya sekali Sukan SEA tidak diadakan, iaitu apabila Pesta Sukan Negara-negara Berkembang (Ganefo) dianjurkan pada 1963 di Jakarta sesudah Laos enggan menjayakan Sukan SEA.

Sukan Para Asean pula hanya mula dianjurkan pada 2001, kebiasaannya menyusul dalam tempoh terdekat, dalam tempoh sebulan selepas temasya Sukan SEA, sebagaimana Sukan Paralimpik dianjurkan di lokasi yang sama selepas Sukan Olimpik.

Pembuat dasar di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) harus mengambil kira semua aspek sebelum membentangkan sesuatu usul.
Nampaknya ini tidak disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan.

Suara-suara penasihat-penasihat yang objektif dan profesional agaknya tidak lagi kedengaran dan kian tenggelam.

Maka 10-1 dan 9-2 jadi jawapannya.

Advertisement

Must Watch Video