Kita biasa rujuk bola sepak 'football' tapi dia pula 'soccer'. Pusing-pusing ceritanya tetap permainan yang sama, cuma dia punya impian yang lebih besar dan kebarangkalian dia mengecapinya juga bukanlah mustahil.

20 kali Amerika Syarikat (AS) menjejaki pusingan akhir Piala Dunia dan selaku tuan rumah bersama Mexico dan Kanada edisi 2026 kelak, impiannya itu tidak seharusnya padam.

Gara-gara wawasan jelasnya itu, iklim sambutan terhadap Wan Kuzain Wan Kamal, 21, sudah berubah sama sekali.

Bahang dipuja kian malap, kecaman terhadapnya lebih membara.

Atas keinginannya untuk mewakili Malaysia setakat di peringkat pelapis -- Sukan SEA Filipina, November depan -- lantas dia dikecam.

Perjalanan kariernya masih jauh. Layak mewakili negara kelahirannya, AS, dan negara asal usul bapanya, Profesor Dr Wan Kamal Napi, yang merupakan anak kelahiran Kelantan tetapi memilih untuk menetap di sana.

Di AS, dia kini bermain untuk kelab 'feeder' Sporting Kansas City, iaitu Swope Park Rangers.

Mengapa tidak kita berikannya peluang? Usahlah mempertikaikan soal patriotismenya.

Sekurang-kurang dia boleh buktikan bola sepak ini bukan bergantung kepada DNA, maksud saya faktor genetik, bukannya DNA Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang merujuk kepada falsafah bola sepak.

Dengan kehadirannya bersama skuad B-23 negara, sungguhpun dalam waktu singkat, pasti ada manfaatnya.



Dulu kita ada Titus James Palani, teruk juga dia dihentam.

Kini berusia 32 tahun dan tahun lepas dia beraksi di kelab divisyen ketiga Perancis, CS Meaux.

Tidak ramai yang tahu betapa besar pengorbanan Titus berjuang untuk memenuhi impiannya bermain di pentas tertinggi tanpa bantuan sesiapa.

Demi mendapatkan taraf pemastautin di Perancis, dia sanggup mengetepikan tawaran untuk kembali ke Malaysia memandangkan bukan mudah untuk merebut slot pemain import di sana.

Fikir-fikir balik, berapa ramai yang sanggup ambil langkah demikian. Kita tidak harus mengetepikan kelibatnya begitu sahaja, mungkin pada masa akan datang dia boleh membuka pintu dan membantu pemain negara untuk berhijrah ke sana.

Tidak salah bermula dengan langkah kecil untuk menjejaki impian lebih besar, mana tahu boleh dijadikan batu loncatan untuk ke liga utama Eropah yang lebih berprestij pula.



Malah, lupakah dulu bahawa kita pernah mempersendakan negara jiran berhubung soal naturalisasi?

Hari ini apa jadi, kita mempunyai Mohamadou Sumareh dan beberapa nama lagi dijangka menyusul.

Antara langkah yang diambil badan peneraju bola sepak negara ketika ini adalah dengan mendapatkan kerjasama daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menerimanya dengan nada positif.

Berilah peluang, jangan cepat melatah.