RENCANA
Antara Nazmi dan Suarez
"Tak salam pun jadi hal?", Itu mungkin reaksi sesetengah penyokong bola sepak tanah air terutama penyokong Johor Darul Takzim.
Pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor cetus kontroversi apabila tidak bersalaman dengan pemain-pemain Pahang selepas tamat perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Larkin, Ahad lalu.
Insiden itu kini tular di laman media sosial dan gara-gara perlakuannya itu, Nazmi dikecam netizen kerana didakwa tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
Iklan
Tindakan pemain berusia 23 tahun itu juga membuatkan pemain Pahang hampa dan kecewa jika dilihat dalam video tersebut.
Insiden pemain tidak bersalaman selepas perlawanan jarang dapat dilihat dalam bola sepak tanah air, maka tidak hairan tindakan Nazmi itu sengaja diperbesar-besarkan.
Apatah lagi Nazmi mewakili pasukan yang tidak disenangi rata-rata peminat selain bekas pemain kelab Portugal, SC Beira-Mar itu pernah dilanda insiden kontroversi lain sehinggakan dilabel budak 'nakal'.
Di luar negara terutama di Eropah, insiden seperti itu sememangnya mendapat tumpuan meluas sekiranya ia terjadi sebagai contoh pada Februari 2012, penyerang Liverpool Luiz Suarez menolak untuk bersalam dengan pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra.
Ia berlaku sebelum perlawanan bermula dan sikap Suarez mengundang rasa kecewa pengurusan pasukan yang turut menganggap telah menjatuhkan nama baik kelab.
Seperti Nazmi, Suarez ketika itu menerima kritikan hebat daripada seluruh peminat bola sepak sebelum penyerang Uruguay itu tampil memohon maaf.
Sebelum insiden tidak bersalam di Larkin itu, Nazmi yang dimasukkan menggantikan Safiq Rahim pada minit ke-75 sudah terpalit dengan insiden kontroversi.
Ketika pergaduhan membabitkan Mohamadou Sumareh dan Afiq Fazail, Nazmi tendang curi penyerang import Pahang, Matheus Alves, mujur tidak dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad.
Penulis bersikap positif, Nazmi mungkin bertindak sedemikian secara spontan kerana tidak dapat menerima kegagalan pasukannya layak ke separuh akhir, namun adalah lebih baik sekiranya dia lebih tenang mengawal emosi agar terus menjadi pemain yang dihormati dan disanjungi peminat.
Must-Watch Video