Kemeriahan hari raya masih lagi terasa di mana semua umat Islam meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Begitu juga dengan atlet-atlet yang terpaksa mengorbankan sambutan lebaran demi ikhtiar mereka mengharumkan nama negara.
Itulah juga yang dihadapi oleh pemain-pemain bola sepak di Malaysia apabila ada antara mereka yang sudah memulakan latihan semenjak hari raya ketiga lagi, lantaran saingan Piala Malaysia akan bermula Selasa ini.
Dalam kesibukan semua jurulatih membuat persiapan memantapkan pasukan, ada juga persatuan mengunakan jendela perpindahan untuk menukar pemain-pemain import.
Saat inilah yang memang ditunggu-tunggu oleh segelintir persatuan di mana mereka boleh mengunakan kesempatan untuk menukar pemain-pemain import yang tidak menunjukkan prestasi membanggakan.
Persoalannya ialah mengapa perlu semua ini boleh berlaku sedangkan persatuan dan jurulatih telah memilih pemain-pemain import mengikut kehendak mereka ketika pra-musim?
Inilah satu lagi sikap yang perlu dikikis dalam menuju ke arah kemajuan dalam bola sepak.
Ini menunjukkan bahawa persatuan tidak mempunyai perancangan yang baik dalam urus tadbirnya.
Pembaziran dalam aliran kewangan akan terus menyelubungi persatuan sedangkan untuk mencari dana bagi menampung kewangan, persatuan mendapatinya amat sukar.
Jangan hanya memikirkan ang pau dari awang import tetapi akhirnya memusnahkan reputasi diri.
Bijaklah merancang dalam menyediakan sesebuah pasukan yang mantap dengan pengurusan yang mampu berfikir ke hadapan demi keuntungan pasukan, bukannya keuntungan diri sendiri.