Datuk Nicol Ann David akan sentiasa dikenang sebagai seorang ikon dan legenda yang meletakkan skuasy Malaysia di mata dunia.
Ibarat hikayat atau pujangga yang bersandarkan kelibat seorang "enigma" seperti Nicol, akan ada waktu sang pahlawan perlu berentap dengan gelora.
Badai yang memukul Nicol waktu ini bukan dalam bentuk lawan di dalam gelanggang tetapi wajah yang terpancar saat dia berdepan dengan cermin.
Mudah untuk mengkritik seseorang waktu dia berdepan krisis apatah lagi buat Nicol yang sudah berusia 33 tahun walaupun fizikal dan keterampilan persis atlit belasan tahun.
Untuk memahami Nicol, mungkin wajar kita putarkan masa saat dia mula mengenali sukan skuasy pada usia lima tahun.
Daripada saat itu hanya tiga tahun yang diperlukan bakat luar biasa ini untuk mendalami skuasy sebagai seorang profesional.
Satu demi satu kejuaraan di peringkat kebangsaan didominasi Nicol sehinggalah dia di puncak remaja dunia pada usia 16 tahun pada 1999.
Buat yang menidakkan kredibiliti Nicol waktu ini, ingat dan tanya kembali pada diri anda sendiri,pada usia lima,lapan,mahupun 16 tahun, adakah anda sudah tahu apa yang mahu dijadikan dalam kehidupan?
Tetapi Nicol berani lakukan apa yang tidak mampu untuk dikorbankan kebanyakkan individu, berjauhan daripada keluarga serta setiap keselesaan untuk membesar dalam persekitaran tanah air sendiri apabila berkelana di Amsterdam sejak usia 19 tahun sehinggalah ke hari ini.
Atas dasar itu dia berupaya menjulang lapan gelaran terbuka dunia,lima Terbuka British,lapan terbuka Malaysia dan tidak ketinggalan deretan emas Sukan Sea,Asia dan Komanwel.
Malah tanpa sebarang keraguan,jika skuasy dipertandingkan di pentas Olimpik sudah lama Malaysia berupaya mendakap Emas sulung yang menjadi dambaan sehingga ke hari ini.
Anatomi sang juara tidak sekadar terletak pada bakat semulajadi,latihan berintensiti tinggi saban hari tetapi juga pada keutuhan mental dan emosi.
Nicol pemain No 1 Dunia untuk tempoh 108 bulan bersamaan sembilan tahun,pencapaian yang tidak mungkin berupaya diualangi pemain lain.
Sekali lagi kita ajukan persoalan sama terhadap diri sendiri,apakah kita mempunyai kemampuan untuk berkorban dan pamer prestasi konsisten dalam kehidupan dan kerjaya sebagai yang terbaik sepanjang waktu itu?
Saat dia hilang takhta No 1 Dunia pada Julai 2015 sejak itu juga Nicol bergelut dengan prestasi dengan kemarau kejuaraan dalam musim 2016 terus berpanjangan.
Buat seseorang yang sudah biasa merasai nikmat sebagai juara,pasti tidak mudah menerima hakikat untuk terus dihambat kegagalan.
Hanya Nicol seorang tahu apa yang merintih pemikiran dan emosinya dalam usaha untuk kembali senyum di dalam gelanggang buat Malaysia.
Mudah mencari penawar luka yang terlihat pada mata tetapi duka di dalam hati mungkin perlukan sesuatu yang luar biasa.
Nicol memiliki perwatakan sang Juara, hanya perlukan masa untuk bangkit,apa pun yang berlaku serta apa pilihan dia selepas ini,sudah tidak ada apa yang perlu dibuktikan kepada dunia.
Tetapi itulah yang memisahkan yang terhebat dan yang biasa,untuk sentiasa membuktikan diri sendiri silap demi memastikan keajaiban bukan sesuatu yang mustahil.
Anatomi seorang juara........