Skip to main content

Rencana

Alcacer: Kebangkitan anak Torrent (Bhg 2)

cover_1.jpg
"Keluar daripada Barcelona membantu saya untuk menikmati kerjaya pemain bola sepak."

Itu luahan Paco Alcacer selepas meraih enam gol hanya dalam tempoh 81 minit bersama Borussia Dortmund sebaik sahaja meninggalkan Sepanyol untuk berhijrah ke Signal Iduna Park.

Kejayaan dan kecemerlangan yang dipamerkan di pentas Bundesliga juga telah membolehkannya kembali menerima panggilan daripada skuad La Roja buat kali pertama sejak Mac 2016 selepas menarik perhatian pengendali Sepanyol, Luis Enrique.



Setakat 12 November 2018, Alcacer telah menyumbat sembilan gol dalam semua kejohanan buat Dortmund, termasuk hatrik sewaktu mengatasi Augsburg 4-3, 6 Oktober lalu.
 
Malah, Alcacer membuktikan dia bukan seorang penggempur yang sekadar meraih jaringan dalam aksi berdepan pasukan bawahan apabila penyerang kelahiran Torrent, Sepanyol itu menjaringkan gol kemenangan buat Dortmund sewaktu pasukan kendalian Lucien Favre itu menundukkan juara bertahan, Bayern Munich, 3-2.



Ternyata pengalaman yang diraih sewaktu menghabiskan tempoh dua musim di Camp Nou digunakan sebaik-baiknya oleh Alcacer apabila hadir ke Jerman untuk mempamerkan taring yang pernah menghantui barisan pertahanan LaLiga ketika dia menyarung jersi Valencia, beberapa musim lalu.

Namun, dalam masa sama, antara faktor yang memberi kesan besar kepada keyakinan dalam setiap sentuhan Alcacer bersama Dortmund adalah tahap kecergasan kapten, Marco Reus, sehingga memudahkan setiap langkah buat Alcacer.

"Reus membantu saya menyesuaikan diri di dalam dan luar padang. Beraksi bersamanya membuatkan semua perkara menjadi mudah. Reus adalah ketua bertaraf dunia," ujar Alcacer ketika bercakap mengenai pemain Jerman itu.



Walaupun Alcacer tidak diletakkan dalam kesebelasan utama bagi semua perlawanan musim ini, jelas sekali kelibatnya bersama Reus telah memberikan satu nafas baru di Signal Iduna Park.

Selepas 11 perlawanan, Dortmund masih belum mencatat sebarang kekalahan di pentas Bundesliga dan mereka juga menewaskan kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid, 4-0 dalam  saingan Liga Juara-Juara Eropah.



Justeru, jika Favre bercadang untuk mengaktifkan pilihan pembelian tetap buat Alcacer selepas perjanjian pinjaman dicapai Ogos lalu, tidak mustahil mereka akhirnya bakal menemui pengganti bekas peledak utama, Robert Lewandowski, selepas beberapa tahun gagal melakukannya.

Kebangkitan Alcacer dalam karier semestinya satu perkara yang perlu dilihat sebagai contoh bahawa setiap pemain yang merudum prestasi pasti mampu kembali mencapai tahap terbaik sekiranya dapat bersama pasukan yang benar-benar sesuai dengan corak permainannya.

Advertisement

Must Watch Video