Skip to main content

Rencana

Alan Forsyth dan Great Britain

great-britain-hoki-270517.jpg
Apa bezanya pasukan hoki England dan Great Britain dalam pentas hoki dunia?

Ada kalanya di pentas hoki antarabangsa mereka akan bertanding atas nama England dan adakalanya atas nama Great Britain.

Dalam Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel -- Ireland Utara, Wales, Scotland dan England akan bergabung dan bertanding atas nama Great Britain. 

Selain daripada dua temasya sukan di atas, negara-negara ini akan bertanding atas negara masing-masing seperti Piala Dunia, Liga Hoki Dunia, Piala Juara-Juara (selepas Olimpik) atau kejohanan-kejohanan lain yang tidak berada dalam program Majlis Olimpik Great Britain.

Dalam Piala Sultan Azlan Shah dari 29 hingga 6 Mei baru baru ini, mereka bertanding atas nama Great Britain. 

Ini kerana Piala Sultan Azlan Shah adalah antara program dalam perancangan Majlis Olimpik Great Britain. 

Walaupun atas nama Great Britain, hanya seorang sahaja pemain daripada Wales, iaitu Daniel Kyriakides dan seorang lagi dari Scotland, Alan Forsyth, selebihnya adalah pemain Great Britain ini terdiri daripada pasukan England.

Dalam perlawanan akhir itu, Great Britain telah mencipta kejutan apabila menewaskan juara bertahan Australia 3-2 walaupun di peringkat liga, mereka tewas 2-1. 

Ini adalah kali kedua Great Britain muncul juara. Kali pertama pada tahun 1994.

Apa yang begitu menarik perhatian saya tentang kejayaan Great Britain adalah prestasi yang ditunjukkan oleh satu-satunya pemain daripada Scotland, iaitu Alan Forsyth.

Pemain berusia 25 tahun ini telah berjinak-jinak dengan sukan hoki semenjak berumur lima tahun lagi. Di mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah pepatah buat pemain yang berpontensi besar ini kerana ayah beliau juga begitu aktif dalam sukan Hoki. 

Derek Forsyth pernah menjadi ketua jurulatih Scotland dan dalam Piala Sultan Azlan Shah 2017, dia dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Bobby Crutchley.

Alan Forsyth telah diserapkan di bawah Program Olimpik Great Britain pada 2015. Memenangi cap pertama beliau bersama Great Britain semasa menentang Argentina pada tahun yang sama. Walaupun tewas 3-2, beliau berjaya menjaringkan satu gol.

Pemain yang pernah dinobatkan Pemain Hoki Terbaik Scotland pada 2011 dan 2012 ini telah mencipta sejarah buat Hoki Scotland, iaitu pemain termuda bermain sebanyak 50 cap pada umur 18 tahun.

Walaupun tidak terpilih untuk skuad Great Britain dalam Olimpik Rio 2016 namun dalam Piala Sultan Azlan Shah yang lalu, dia dengan jaringan empat gol serta terpilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir telah membantu Great Britain untuk muncul Juara. Gol keduanya buat Great Britain dalam perlawanan pertama ketika seri dengan India 2-2 adalah antara gol tercantik kejohanan.

Di Rio, Great Britain pulang hampa dengan persembahan antara yang terburuk dalam sejarah penyertaan mereka dalam Olimpik apabila menduduki tempat kesembilan.

Ia menyebabkan rombakan telah dilakukan di mana beberapa pemain pemain senior telah digugurkan dalam perancangan untuk ke Olimpik 2020. Antaranya adalah pakar pukulan sudut penalti, Ashley Jackson, Simon Mantell, Nick Catlin, Ali Brogdon dan pertahanan berpengalaman, Dan Fox. 

Melihat daripada rombakan yang dilakukan ini, saya past Great Britain melalui Program Majlis Olimpik bahawa mereka ingin kembali semula menggegar dalam Olimpik 2020 dengan cuba mengulangi kejayaan meraih pingat emas Olimpik yang pernah dilakukan pada 1920 dan 1988.

Saya pasti, nama Alan Forsyth -- pemain Scotland ini akan menjadi antara mesin penyudah dan nadi pasukan Great Britain dalam misi menggegar kembali Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
 

Advertisement

Must Watch Video