Skip to main content

Rencana

Air mata atlet di bumi Gold Coast

amira-1.jpg
Temasya Sukan Komanwel 2018 adalah ‘pesta sukan’ terbesar sulung buat saya selepas lebih dua tahun berkhidmat di Astro Arena – pengalaman baru yang menjelmakan seribu satu rasa sejak tiba di bumi Gold Coast pada 1 April lalu.

Ditugaskan bersama jurukamera, Irsyahdi Tumian – Bob – memang membuatkan saya beruntung kerana pengalamannya banyak membantu melancarkan perancangan kami membuat liputan di Gold Coast untuk seluruh rakyat Malaysia.

Saya masih ingat lagi kata-kata ‘big boss’, Ahmad Khawari Isa, sebelum terbang ke sini iaitu ‘kalau bukan atlet yang menangis, you yang akan menangis dekat sana’.

Bunyinya agak keras, tetapi ia ada makna tersirat betapa jika sudah mengenali rapat perjalanan atlet – baik di dalam mahupun luar gelanggang – saya sendiri pasti terasa sedih mahupun gembira mereka selepas beraksi.



Realitinya memang dirasai. Saya ingat detik saya dan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, sama-sama menanti keputusan rasmi menerusi aplikasi GC2018 di Stadium Carrara sama ada dia layak ke peringkat separuh akhir.

Sebaik sahaja melihat keputusan, terus dia menangis di hadapan kamera meluahkan isi hatinya kepada saya kerana kami berdua tahu bagaimana bermaknanya jurulatih, M. Balamurugam dalam diri Zaidatul sehingga berjaya layak ke separuh akhir 100 meter.

Satu soalan saya tanyakan kepadanya, “Apa Zaidatul ingin katakan kepada jurulatih sekarang?” Dengan penuh sebak, dia terus jawab, “Coach, this is for you”. Cukup, itu saya perlukan - luahan bermakna seorang atlet kepada jurulatihnya. 

Saya puas kerana dapat jadi perantara seorang atlet kepada jurulatih dalam detik paling manisnya!

Percayalah, satu kepuasan dirasai apabila kita menyelami sendiri perasaan atlet itu - baik sedih atau gembira – lantas mengangkat kita juga sebagai penyokong, bukan hanya menjalankan tugas sebagai wartawan di lokasi.

Terima kasih atlet negara atas segala kerja keras dan usaha anda di pentas Sukan Komanwel Gold Coast kali ini demi menjulang satu nama – Malaysia.

Kami di Astro Arena dan Nadi Arena tidak akan berhenti untuk berkongsi cerita suka duka anda, bukan sekadar di Gold Coast kali ini, tetapi di setiap langkahan anda menjulang Jalur Gemilang.

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Advertisement

Must Watch Video