Skip to main content

Rencana

"Ain’t he great?" Jeff Jarrett ke anugerah Hall Of Fame WWE

wwe-jeff-jarrett-1.jpg
Seakan sukar untuk dipercayai. Namun ia benar-benar menjadi kenyataan apabila WWE mengumumkan bahawa bekas Juara Antara Benua WWE, Jeff Jarrett akan dimasukkan ke anugerah Hall Of Fame WWE pada tahun ini.
 
Jarrett, atau nama sebenarnya Jeffrey Leonard Jarrett, 50, akan bersama-sama dengan beberapa nama besar lain seperti Goldberg, Ivory dan Dudley Boyz bagi menerima pengiktirafan tertinggi gusti profesional tersebut pada 7 April ini, dua hari sebelum acara WWE Wrestlemania 34 berlangsung.
 

 
Sebagai bekas Juara Antara Benua WWE sebanyak enam kali, tiada sebarang pertikaian mengapa nama Jarrett layak untuk menerima pengangerahan tersebut. Dengan gimik penyanyi muzik country dan busananya yang bergemerlapan, nama Jarrett sememangnya amat sinonim dengan peminat gusti yang membesar di era 90an.
 
Jarrett mula-mula menyertai WWE seawal tahun 1992 apabila pihak WWE ketika itu bekerjasama dengan USWA (United States Wrestling Association), sebuah organisasi gusti yang diasaskan bapanya, Jerry Jarrett. Namanya mula menyinar tidak lama kemudian apabila menjadi salah seorang penggusti berhaluan kiri terbaik ketika itu dan menjadi antara bintang utama dalam setiap episod mingguan Monday Night Raw serta acara-acara pay-per-view WWE sehingga tahun 1996.
 
Bagi melebarkan lagi kariernya, Jarrett berehat seketika daripada WWE dengan mengikat kontrak setahun dengan pesaing WWE iaitu WCW (World Championship Wrestling). Double J membuktikan yang dirinya adalah seorang penggusti yang berkaliber apabila berjaya menewaskan Dean Malenko seterusnya bergelar Juara Amerika Syarikat WCW dan sempat menyertai pakatan elit Four Horsemen bersama Ric Flair, Arn Anderson dan Steve "Mongo" McMichael.
 

 
Awal Mac 1998. Double J kembali rujuk ke WWE dan terus menggilap lagi namanya di persada WWE. Bersama mendiang Owen Hart, Jarrett berjaya menggondol Kejuaraan Regu WWE apabila menewaskan pasangan Ken Shamrock dan Big Boss Man. Enggan menoleh ke belakang lagi, nama Jarrett terus utuh apabila turut bergelar Juara Antara Benua dan Juara Eropah sebelum meninggalkan WWE pada Oktober 1999.
 
Tidak mahu terus berada dalam kepompong penggusti kelas pertengahan, Jarrett mula menjadi satu figura yang digeruni lawan dan kawan apabila menjadi ayam tambatan Vince Russo di era baharu WCW. Walau hanya sempat berada di syarikat tersebut kurang dari tiga tahun sebelum ia dibeli WWE pada 2001, Jarrett berjaya bergelar Juara Heavyweight Dunia WCW sebanyak empat kali dengan menewaskan nama-nama besar seperti Diamond Dallas Page, Ric Flair, dan Booker T.
 

 
Berikutan berlaku sedikit pertikaian kontrak semasa pemergiannya dari WWE pada 1999, nama Jarrett digugurkan daripada senarai bintang yang diambil bekerja oleh WWE susulan pembelian WCW pada 2001. Malah, ketika siaran langsung Raw yang ke udara serentak dengan siaran terakhir episod WCW Monday Nitro, Vince McMahon telah memecat Jarrett secara langsung di kaca TV.
 
Namun ini semua tidak mematahkan semangat bintang kelahiran Hendersonville, Tennessee ini. Bersama bapanya, mereka mengasaskan sebuah lagi organisasi gusti yang diberi nama TNA (Total Nonstop Action Wrestling) pada tahun 2002.
 
Melalui wadah TNA ini, Jarrett terus megah apabila beberapa kali menjuarai kejuaraan utama syarikat tersebut. Bukan itu sahaja, TNA turut menjadi medan mencipta nama buat beberapa penggusti muda yang kini menjadi bintang mega di WWE seperti AJ Styles, Samoa Joe, Bobby Roode, Eric Young dan ramai lagi.
 
Atas segala sumbangan Jarrett selama ini dalam mewarnai dunia gusti profesional, tidak syak lagi yang beliau sememangnya layak untuk menduduki tempat istimewa di dalam Dewan Kemasyhuran WWE. Situasi ini juga memberi isyarat yang walau apapun sejarah hitam atau perselisihan yang pernah berlaku sebelum ini, WWE rela ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ untuk kebaikan semua pihak dan tidak menyimpan sebarang dendam atas dasar profesionalisme.
 
Mengambil contoh apa yang berlaku kepada beberapa bintang seperti Bret "Hitman" Hart, Goldberg, Ultimate Warrior dan ramai lagi. Kesudahannya, perdamaian adalah jalan yang terbaik dan semua pihak yang terlibat memperoleh manfaatnya.
 
Tidak mustahil, dengan kudrat yang masih berbaki, Double J akan kembali semula menghiasi pentas WWE selepas ini. Dengan segala kepakaran dan pengalaman yang ada, Double J mampu membimbing bakat-bakat muda WWE untuk terus menjadi bintang berjaya. Atau menjadi Pengurus Besar di Raw atau Smackdown yang sudah tentu bakal mengujakan semua peminat gusti seantero dunia.
 
Sekalung tahniah buat J-E-Double-F, J-A-Double-R, E-Double-T!"
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Elimination Chamber dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video