Skip to main content

Rencana

AFF - Fantasi Realiti Laksamana Cheng Hoe

tan-cheng-hoe.jpg
Setakat yang ada masih belum mampu mengatasi pencapaian yang dilakar si antagonis Datuk K. Rajagobal.

Bawa sahaja Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee, mahupun Nelo Vingada yang belum sempat di uji kepakarannya, kecemerlangan di peringkat Asia Tenggara masih sekadar sejarah lampau 8 tahun lalu.

Aku yakin kejayaan 2010, jadi pembunuh 3 edisi Piala AFF, di mana setiap edisi membawa ceritera berbeza dan ada masanya isu yang berlangsung tidak masuk akal langsung.

Masing-masing mula tunjuk pandai sehingga terlupa sasaran yang perlu didaki ketika itu adalah pentas Piala Asia.

"Kita sudah yang terbaik Asia Tenggara, kini saya mahukan platform untuk ke Piala Asia 2015". Itulah luahan Rajagobal yang masih aku ingat sehingga kini.

"Demand" mula diatur ke atas skuad emas ini, perlahan lahan ia umpama halangan secara tidak langsung buat skuad negara penuhi sasaran bagi tempoh 5 tahun ketika itu.

Namun keyakinan tetap jadi pemangkin pemain ketika itu antaranya pemain berpengalaman Amri Yahyah, betapa impian ke Piala Asia 2015 bukan sekadar omong kosong malah ia adalah perkara nyata yang sedang di corak Rajagobal bersama skuad kesayangannya yang di bimbing sejak 2007 di mana era Harimau Muda mula di bentuk.

Pelbagai isu mula melanda skuad ini bermula dari kegagalan pertahan emas di Piala AFF 2012, prestasi kurang menyerlah di kelayakan Piala Asia, kelibat Rajagobal mula diragui membawa kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tamatkan kontrak pengendali ini pada 2013.

2 tahun kemudian, program Harimau Muda juga dimansuh dan sehingga kini, FAM tiada perancangan jangka masa panjang untuk tepati pencapaian produk mereka bermula dari akar umbi sehingga ke kerahan skuad tertinggi iaitu skuad senior.

8 tahun skuad senior sepi tanpa sebarang pencapaian terbaik, edisi Piala AFF 2018 umpama gerakan bawah tanah yang dibentuk bermula perlantikan bekas penolong jurulatih Rajagobal satu ketika dahulu iaitu Tan Cheng Hoe yang menganyam semula impian terhenti sejak 8 tahun lalu.

Dari segi karakter antara Rajagobal dan Cheng Hoe, umpama langit dengan bumi.

Tetapi Cheng Hoe pernah menjadi orang kanan Rajagobal satu ketika duhulu mungkin itu penambah perisa yang membuatkan kita boleh berpegang kepada kepakaran Cheng Hoe pula untuk anak jati Kedah ini membawa keluar skuad senior negara dari kepompong suram hampir satu dekad.

Persediaan yang dihidangkan buat Cheng Hoe juga berbeza.

Jika dulu, Rajagobal ada pilihan utama melibatkan pemain muda dari skuad Harimau Muda, kali ini Cheng Hoe perlu "mix & match" dengan barisan pemain terbaik yang ada untuk membentuk skuad senior yang lebih padu dari edisi 2010.

Tekanan buat Cheng Hoe bukan biasa-biasa. Dia perlu bawa pulang sesuatu.

Yang pasti saingan Piala AFF 2018 bakal membuka tirai seminggu dari sekarang dan pertembungan dengan Kemboja sebagai aksi pembuka tirai buat Malaysia.

Semoga beroleh kejayaan, buat skuad yang akan meneruskan legasi jersi biru sebagai jersi utama mereka. Biru ada "ong" katanya ...

Advertisement

Must Watch Video