Skip to main content

Advertisement

Rencana

Adli Harimau Baru Johor

adli-hafidz-mohd-pauzi_1.jpg
Kenapa aura peninju Johor lebih menyerlah?

Malaysia memiliki ramai peninju profesional tetapi apa yang dilakukan Adli Hafidz Mohd Pauzi sesuatu yang menakjubkan.

Menyorot laluan Adli sebagai peninju amatur kebangsaan pada 2016, saya melihat dia sebagai seorang atlet yang mempunyai perancangan rapi.

Dia tahu apa perlu dilakukannya untuk raih pingat Sukan Sea 2017 walaupun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak ekoran tumbukan hook peninju Filipina pada final light heavyweight (bawah 81kg).

Dia datang kepada saya pada Disember 2017 menyatakan hasratnya mencuba sesuatu yang baru.

“Saya mahu jadi macam Farkhan (Haron). Saya tiada apa-apa tetapi saya tahu peluang itu ada. Saya perlukan bantuan untuk jadi profesional,” kata Adli.

Saya cuba bantu apa yang terdaya dengan harapan dapat membuka mata pihak penaja - selebihnya rezeki Adli sendiri.

Adli menghubungi saya untuk buat liputan aksi paling penting dalam karier: “Abang kena datang JB. Saya nak rebut tali pinggang WBC,” katanya.

Tetapi apakan daya, saya terikat dengan tugasan Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak yang bertembung tarikh dengan pertarungan Adli.

Beberapa jam selepas menang, Adli menghubungi saya: “Abang, saya menang!” katanya.

Dia menumbangkan peninju Indonesia, Bambang Rusiadi, menerusi technical knockout pusingan kelima sekaligus merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori super middleweight.

Rekodnya kini, 6-0-0 (tiga KO).

“Kejayaan ini sangat penting untuk saya, ia lambang usaha keras selama dua tahun bergelar peninju profesional. Ini baru permulaan, saya mahu berlatih dan bertarung di Amerika Syarikat selepas ini,” katanya.

Saya berharap kejayaan ini menarik lebih ramai penaja. Acuan itu sudah ada sejak 2013 selepas Farkhan mengumumkan keputusan bergelar peninju profesional.

Moga berjaya Adli - Harimau Baru Johor!

Kredit Foto: Buletin Dunia

Advertisement

Must Watch Video