Skip to main content

Rencana

Adakah sejarah akan terukir di Brussels?

hokiwanita-120517.jpg
Dalam kerancakan Liga Hoki Dunia 3 Lelaki di London, ketika ini juga akan berlangsungnya Liga Hoki Dunia 3 Wanita di Brussels dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Kemenangan 5-1 ke atas China dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A semalam meletakkan Malaysia di tangga ketiga di London, seterusnya layak ke suku akhir kejohanan. 

Dengan itu, boleh dikatakan secara matematiknya pasukan hoki lelaki Malaysia layak ke Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di India.

Ini adalah kerana 16 pasukan akan bertanding di India nanti, menjadikan lapan pasukan teratas di London dan dalam Liga Hoki Dunia 3 di Johannesburg akan ke Piala Dunia. 

Namun, secara rasminya 16 pasukan ini terpaksa menunggu kejohanan Piala Benua masing masing tamat. Juara benua akan layak secara automatik ke Piala Dunia. 

Komplikasi akan berlaku jika ada pasukan selain daripada 16 pasukan terbaik dari kedua-dua Liga Hoki Dunia 3 ini menjadi juara mana mana benua. Sebagai contoh, Korea Selatan yang tidak berada antara lapan pasukan teratas di London menjadi juara dalam Piala Asia yang akan berlangsung pada hujung tahun ini di Dhaka, Bangladesh.

Tetapi jangkaan saya yang akan menjadi juara lima benua ini akan terdiri daripada pasukan pasukan 16 terbaik ini. Oleh itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah buat pasukan hoki lelaki Malaysia.

Kita tutup buat sementara waktu berita pasukan hoki lelaki ini kerana pasukan hoki wanita negara akan turun dalam perlawanan pertama mereka hari ini, jam 10 malam menentang pasukan no. 4 dunia, iaitu Australia.

Selain Australia, Sepanyol, New Zealand dan tuan rumah, Belgium, berada dalam kumpulan yang sama.

Walaupun di atas kertas agak sukar buat Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia untuk layak ke suku akhir, saya kenal ketua jurulatih mereka, Muhammad Dharma Raj Abdullah, yang mampu melakar keajaiban.

Seperti yang telah ditunjukkan dalam Liga Hoki Dunia 2 di Kuala Lumpur sebelumnya, mereka menewaskan Itali yang berada di ranking yang lebih tinggi di peringkat separuh akhir -- cukup memberikan harapan yang skuad wanita negara mampu melakar kejutan.

Apa yang menarik, pasukan wanita negara ini saya melihat mereka bermain dengan hati mereka. Jelas dilihat juga, mereka begitu bersemangat dan sentiasa bekerja keras serta bemata-matian dalam setiap perlawanan.

Kepada semua pemain wanita negara, tidak perlu gentar dengan nama-nama besar. Kamu hanya perlu berikan 100 peratus yang kamu punyai dalam setiap perlawanan.

Saya dan pasti rakyat Malaysia, terutama peminat-peminat hoki negara akan mendoakan agar sejarah terukir di bumi Brussels nanti.

All The Best, The Malaysian Hockey Tigress! 

Advertisement

Must Watch Video