Skip to main content

Rencana

Adakah ini penghujungnya?

6217chongwei.jpg
Kalau ada individu yang berupaya bangkit daripada sebarang duka, individu itu adalah Datuk Lee Chong Wei.

Kecederaan, penggantungan doping, kekecewaan dalam pentas final Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik belum mampu menggugat keutuhan Chong Wei menamatkan penantian untuk bersara dengan satu gelaran ulung badminton dunia.

Di luar alam perfileman, Chong Wei ibarat manusia luar biasa, daripada sudut perwatakan serta kemampuan teknikal dalam gelanggang.

Tetapi seperti Superman yang tunduk kepada kelemahan tunggalnya "Kryptonite" Chong Wei juga sedang berdepan musuh utamanya, usia.

Usia tidak mampu dihalang dan tidak ada entiti yang berupaya mengubah takdir tugasan usia untuk mengambil segalanya.

Menjengah usia 35 tahun, Chong Wei berdepan satu lagi cabaran dalam laluan ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini, kecederaan serius pada lutut kirinya.

Imbasan MRI mengesahkan Chong Wei perlu menangani pemulihan membabitkan ligamen kolateral medial (MCL).

Kecederaan ini bukan sahaja memerlukan tempoh panjang untuk pulih tetapi buat Chong Wei, saya percaya kecederaan ini merentap semangatnya.

Tiada siapa lebih memahami situasi ini kalau bukan jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, yang mengambil keputusan untuk bersara atas dasar hilang kemahuan untuk mengatasi episod duka.

Hanya semangat yang berupaya dukung kembali misi Chong Wei untuk bangkit melawan kesukaran menangani kecederaan pada waktu usia sedang membisik,"ini mungkin penghujungnya".

Adakah in penghujungnya buat Chong Wei? Saya sama sekali berasakan tidak, kerana seperti sebelum ini dia sudah senantiasa membuktikan tidak ada apa yang mustahil.

Malaysia di belakang anda Chong Wei........Ayuh.

Advertisement

Must Watch Video