Khairul Azhan Khalid. Nama yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan.
Dia antara individu yang bertanggungjawab mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan bola sepak Pahang menerusi beberapa kejuaraan.
Pada 2013, dia membantu skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh menamatkan kemarau 21 tahun menjulang Piala Malaysia dan tahun berikutnya memastikan tiga kejuaraan milik skuad Pahang iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan kemuncaknya Piala Malaysia ketika itu Pahang di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan.
Ia sekaligus mengangkatnya sebagai pemain paling bernilai dan penjaga gol terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014.
Melewati aksi suram tanpa kejuaraan bersama Pahang musim lalu, anak jati Pahang kelahiran Kuantan ini kemudian 'angkat kaki' bersama beberapa rakan lain meninggalkan pasukan itu.
Namun, Azhan yang lebih mesra disapa Yan di kalangan rakan sepasukan berdepan musim mencabar sejak berhijrah ke Selangor musim ini.
Selain dibelenggu kecederaan, Yan juga tampak sukar menemui aksi terbaiknya apabila kerap juga bersilih ganti bersama Norazlan Razali selaku penjaga gol utama Red Giants.
Namun, ketangkasannya tampak kembali menjelma ketika beraksi bersama skuad negara bagi pertemuan menentang Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Nasional Singapura, pada 7 Oktober lalu.
Azhan meletakkan pengendali negara Datuk Ong Kim Swee dalam keadaan serba salah untuk memberi peluang kepada penjaga gol Perak, Hafizul Hakim untuk diturunkan selepas dia berjaya memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi lawan.
Jelas, penjaga gol berusia 27 tahun itu sudah berada di kelas tersendiri apabila sekali lagi mempamer persembahan memukau ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara T-Team dan Selangor, pada Sabtu.
Penulis yang pada mulanya mahu menonton aksi separuh akhir antara PDRM dan Kedah berubah pilihan siaran ke perlawanan T-Team menentang Selangor gara-gara Khairul Azhan.
Boleh dikatakan, tiga percubaan The Titans yang 100 peratus mampu menghasilkan jaringan digagalkannya. Penulis cukup simpati dengan nasib lawan dari pantai timur itu kerana tidak berjaya mendapatkan jaringan setelah ada usaha dilancarkan.
Azhan sememangnya 'hero' Selangor malam tadi, maka tidak hairanlah dia menjadi 'bahan' rakannya apabila Razman Roslan muat naik gambar Azhan di Instagram miliknya, dengan status "Abang keeper i love u!".