Skip to main content

Rencana

7.60 meter tak pernah ada dalam perbincangan kami!

sukma-sarawak-uji-prestasi-latif-sebelum-paralimpik-rio.jpg
Tatkala lompatan pertama Abdul Latif Romly dibatalkan, jujur ingin dikatakan sedikitpun tiada rasa gusar di hati penulis kerana yakin anak jati Perlis ini mampu melakukan yang terbaik dalam lompatan seterusnya.

Dengan membawa kredibiliti selaku atlet no. 1 dunia, lompatan kedua Latif mencetus gamat penyokong Malaysia yang tidak henti-henti menjerit menyatakan sokongan kepada atlit tinggi lampai ini.

“Terbang Latif terbang!!”

Penulis sendiri terbeliak biji mata melihat kehebatan anak muda berusia 19 tahun ini menguasai saingan sehinggakan berjaya mengawal mental semua pesaingnya, terutama Talic Zoran dari Croatia.

Tiga kali pecah rekod dunia dalam satu masa, Latif begitu luar biasa!

Ingin penulis mengimbau semula bagaimana jurulatih Latif, Shahrul Amri Suhaimi, yang tidak senang duduk sehari sebelum acara anak buahnya berlangsung.

Tambah tekanan buat Shahrul Amri apabila melihat kejayaan Ziyad Zulkifli dan Ridzuan Puzi menepati ramalan negara mengutip emas Paralimpik beberapa jam sebelum giliran Latif beraksi di Stadium Olimpik.

'”Bedebaq, ketaq semua duk ada ni, Fina oii.” Itu reaksi spontan Shahrul Amri yang merupakan anak jati Kedah berkongsi perasaan sebelum Latif memulakan acara.

Namun, segala bebanan terlerai dari bahu Shahrul Amri setelah Latif begitu cemerlang memburu emas kedua buat negara dengan rekod dunia 7.60 meter.

Latif bukan sahaja dinobat selaku pemegang pingat emas Paralimpik, tetapi rekod baru dunia turut di pegangnya, selain mencipta sejarah melakukan tiga rekod dunia dalam satu masa!

Terlalu hebat !

“7.60 meter tak pernah ada dalam perbincangan kami,” akui Shahrul Amri. “Saya yakin dia mampu mengatasi catatan terbaiknya, tapi mungkin dalam 7.50 meter -- 7.60 meter sesuatu yang tak di jangka.” 

Shahrul Amri sudah pasti lega Latif tidak ketinggalan dalam menepati sasaran negara menyumbang emas di Paralimpik Rio 2016.

Setelah cemerlang di peringkat Paralimpik, Latif tidak pernah puas untuk memburu kejayaan seterusnya.

Menerusi catatan baru dunia itu, Latif layak secara merit untuk beraksi dalam Sukan Sea Kuala Lumpur tahun hadapan, sekali gus bersaing dengan atlit normal, cuma perlu menunggu pengesahan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya mahu beraksi dengan atlit normal pula, saya tahu susah tapi saya sukakan cabaran.” Itu reaksi Latif apabila ditanya kemungkinan kelibatnya di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Thumbs up Latif 

Advertisement

Must Watch Video