Individu berusia 34 tahun, Sergio Ramos merupakan salah seorang watak penting dalam sejarah bola sepak moden Sepanyol. Lahir di pekan kecil bernama Camas di Sevilla, Ramos mula berjinak-jinak dalam sukan bola sepak sejak berusia enam tahun bersama pasukan bola sepak abangnya.
Advertisement
Bernd Schuster versi Sepanyol
Pada ketika itu , Ramos bermain di posisi tengah dengan keupayaan yang amat baik dalam serangan dan juga bertahan sehingga rakan-rakannya menggelar beliau 'Bernd Schuster Sepanyol'.
Memulakan karier bersama akademi Sevilla, Ramos melakukan debut pertama di La Liga pada 2004 ketika berusia 17 tahun di posisi pertahanan kanan. Setahun kemudian, beliau mendapat panggilan menyertai skuad senior Sepanyol, pada waktu beliau hanya berusia 18 tahun!
Kecemerlangannya beraksi menyaksikan Florentino Perez segera mendapatkan khidmat beliau sebagai pengganti kepada Michel Solgado dan diberi kepercayaan menyarung jersi no 4, yang sebelum ini diguna pakai oleh legenda Los Blancos, Fernando Hierro. Ironinya, Bernd Schuster menjadi jurulatihnya pada tahun 2007-2008 bersama pasukan Real Madrid.
4 & 10
Dari hari pertama di Santiago Bernabeu, Ramos tidak pernah memakai jersi nombor lain selain nombor 4. Tapi tahukah anda, Ramos pernah memakai jersi nombor 10 di dalam jersi nombor 4 dan tindakan itu dikatakan sebagai sokongan kepada rakan sepasukannya, Mesut Ozil yang tidak diberikan ruang bermain oleh jurulatih pada waktu itu, Jose Mourinho.
Walaubagaimanapun, Ramos segera menafikan perkara itu dan menegaskan hubungannya dengan 'The Special One' baik-baik sahaja.
Tapi bukan lagi rahsia, bagaimana berpengaruhnya Messi di Barcelona, sama juga skripnya buat Ramos di Real Madrid. Begitulah cakap-cakap belakang yang penulis dengar. Oh ya, Ramos juga memilih untuk memakai jersi nombor 15 bersama skuad kebangsaan Sepanyol, suatu nombor yang agak unik buat seorang pemain pertahanan.
El Lobo, El Gitano dan Cuqui
Kalau dah namanya atlet, mesti ada nama timangan di atas padang. Barulah senang pemain lain nak panggil kan.. Sama juga ceritanya dengan Sergio Ramos. Di mata pemerhati bola sepak, beliau lebih dikenali dengan gelaran 'El Lobo' ataupun bermaksud 'The Wolf'. Ada juga gelaran lain yang diberikan seperti 'El Gitano' yang bermaksud 'The Gypsy'.
Sudah pasti gelaran ini adalah bersandarkan corak permainan Ramos yang berkualiti tetapi dalam masa sama 'ganas' dan 'licik'. Lihat sahaja bagaimana beliau menjaringkan gol-gol penting seperti di final Liga Juara Juara Eropah, dan juga bagaimana liciknya beliau 'membunuh' pemain utama lawan seperti yang dilakukan kepada Mohamed Salah di pentas final UCL.
Namun di sebalik gelaran-gelaran ganas yang diberikan, sebenarnya di kalangan pemain, Ramos lebih mesra disapa 'Cuqui' yang merupakan suatu kuih tradisi di Sepanyol. Mungkin kalau di Malaysia, kita boleh sapa Ramos dengan nama 'cakoi' barangkali?
Pertahanan Paling Banyak Gol vs Tiada Gol
Dalam sejarah La Liga, Sergio Ramos merupakan pertahanan yang paling banyak meledakkan jaringan gol dengan rekod 69 gol sepanjang bergelar pemain profesional. 67 gol bersama Real Madrid dan hanya dua gol bersama Sevilla diawal kariernya.
Tetapi tahukah anda, Ramos tidak pernah menjaringkan gol (selain penalti) bersama skuad kebangsaan Sepanyol di dalam saingan utama seperti Piala Dunia, Euro bahkan Piala Konfederasi.
Kuda Milik Ramos Juga Juara Dunia
Sesuai dengan latar kehidupannya, Ramos juga menggemari kuda dan memiliki ladang kuda miliknya sendiri.
Tetapi selain kejayaan paling diingati menjuarai Piala Dunia, kuda milik Ramos yang diberi nama Yucatan de Ramos merupakan juara dunia di pertandingan "International PRE Horse Fair 2018" sebagai baka kuda Sepanyol terbaik di dunia.