10 terbaik dunia, itu kedudukan yang sudah pun dicapai pelumba basikal trek para negara, Afiq Afify Rizan, selepas menduduki tempat ke-10 acara ujian masa 1 kilometer pada Kejohanan Dunia Berbasikal Para di Montichiari, Itali pada bulan Mei lalu.
Atas reputasi itu juga dia sebenarnya mempunyai peluang untuk mencipta kejutan pada saingan Temasya Paralimpik Rio 2016, walaupun mengakui kedudukan pingat bukan sasaran utama.
Apa yang penting kini adalah untuk mengejar rekod Asia milik pelumba Jepun, Oshiro Tatsuyuki, dan Ito Yasufumi, iaitu 1:04.266 saat yang dilakukan ketika edisi 2012 London.
Manakala catatan yang dilakukan Afiq bersama pelumba pilotnya, Faizal Mohamad Noh, di Montichiari ialah 1:04.990 saat, yang juga merupakan rekod kebangsaan.
Nyata tidak jauh perbezaan catatan yang dilakukan oleh Afiq berbanding rekod Asia dan itu menjadi matlamatnya di Rio.
Penulis berkesempatan meninjau sesi latihan Afiq di Velodrom Olimpik Rio, dan menaruh keyakinan tinggi bahawa dia mampu untuk menyerlahkan kemampuan sebenarnya pada hari pertandingan.
Di venue itu juga menyaksikan satu sejarah tercipta apabila sukan berbasikal trek akhinya memenangi pingat ketika Temasya Olimpik berlangsung bulan lalu.
Penyumbang pingat itu tidak lain sudah pasti idola Afiq sendiri iaitu Azizulhasni Awang, bagi acara keirin.
Secara tidak langsung, kejayaan Azizulhasni itu memberikan lebih motivasi buat Afiq untuk tampil dengan semangat juang yang tinggi, sama seperti apa yang telah dipamerkannya semasa Kejohanan Dunia.
Selain itu, antara pencapaian terbaik Afiq termasuklah memenangi pingat emas acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Shizuoka, Jepun, awal tahun ini.
Di Rio, Afiq juga akan menyertai acara 4 kilometer kejar mengejar, namun tumpuannya lebih terarah kepada ujian masa 1 kilometer, di mana itu merupakan taruhan sebenar buat dirinya.
Kepada Afiq, terus kekalkan fokus anda dan buktikan Malaysia juga mempunyai jaguh handalan dunia bagi acara berbasikal trek para. Selamat berjuang. #KamiLuarBiasa