Skip to main content

Bola Sepak

Zidane sahkan kekal di Madrid

zidane-040617.jpg
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, mengesahkan akan kekal bersama skuad Los Blancos pada musim depan. 

Zidane berjaya meraih sesuatu yang tidak dapat dikecapi mana-mana jurulatih -- memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dua musim berturut-turut – selepas menewaskan Juventus 4-1 dalam final, awal pagi tadi. 

Ia menjadikan perjalanan daripada seorang pemain kepada seorang jurulatih buat Zidane sangat hebat, terutama selepas membawa Madrid menjuarai La Liga buat kali pertama selepas tahun 2012. 

Bagaimanapun, pengendali berusia 44 tahun itu kekal dengan sifat merendah diri ketika sidang media serta mengesahkan dia akan kekal di Santiago Bernabeu pada musim depan. 

"Saya bukan pengurus terbaik di dunia tetapi jelas saya akan kekal bersama Madrid," kata Zidane. 

"Kami sudah mula memikirkan tentang musim depan tetapi kami mahu menikmati kejayaan ini dulu,” tambahnya. 

Madrid harus berterima kasih kepada pemenang empat kali Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo, yang memberikan impak besar dalam perlawanan dengan dua gol.

“Kami gembira kerana untuk memenangi kedua-dua Liga Juara-Juara dan La Liga bukan sesuatu yang mudah tetapi kami berjaya kerana kami sentiasa optimis dan bekerja keras,” ujar Zidane.

Ditanya mengenai perbezaan memenangi Liga Juara-Juara dan La Liga, Zidane menyifatkan ia adalah hari yang sangat istimewa.

“Ia hari yang sangat menggembirakan dalam karier saya kerana untuk memenangi kejuaraan melalui 38 perlawanan adalah sesuatu yang sangat hebat,” katanya. 

Advertisement

Must Watch Video