Skip to main content

Bola Sepak

Zidane akui penat kemudi Real Madrid

zidane_6.jpg
Zinedine Zidane mengakui tugas mengurus Real Madrid adalah sangat melelahkan -- namun menegaskan bahawa dia belum bersedia meninggalkan jawatannya.

Pengurus Perancis itu telah memenangi lapan trofi sejak mengemudi Los Blancos, termasuk gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dalam dua musim terakhir sejak pelantikannya pada awal 2016.

Bagaimanapun, perjuangan domestik Madrid musim ini -- mengumpul 17 mata di belakang seteru ketat LaLiga, Barcelona, selain tewas mengejut di tangan Leganes dalam Copa del Rey -- telah menyebabkan kedudukan Zidane semakin terancam.

Zidane, 45, mengakui akan tiba masanya kelab itu mahu membuat perubahan, namun tidak menjangkakannya dalam masa terdekat.

"Ia sangat melelahkan, apatah lagi di Real Madrid," kata Zidane dalam sidang berita menjelang pertemuan dengan Real Betis.

"Jelas sekali anda akan mencapai satu peringkat apabila perubahan diperlukan dan ia berlaku kepada semua orang, bukan hanya jurulatih. Ia tidak berlaku sekarang tetapi akan berlaku.

"Kerjaya ini meletihkan, lebih-lebih lagi di sini.

"Bagi saya, apa yang penting adalah apa yang saya lakukan ketika ini, saya mahu menghabiskan perjuangan musim ini dan itu yang saya fikirkan," katanya.

Tekanan terhadap Zidane mulai reda pada pertengahan minggu ini berikutan kemenangan 3-1 dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara dengan Paris Saint-Germain (PSG).

Dengan pentas Eropah menawarkan Madrid peluang realistik tunggal untuk meraih kejuaraan musim ini, Zidane membayangkan perancangan penggiliran pemain bermula hujung minggu ini menentang Betis.

"Mereka yang memutuskannya, apa yang saya mahukan adalah khidmat kesemua pemain," tambah Zidane.

"Saya mahu bermain dalam formasi berlian ketika menentang PSG manakala kami akan menempuhi banyak lagi perlawanan, saya memerlukan kesemua pemain."
 

Advertisement

Must Watch Video