Skip to main content

Bola Sepak

Zainal tuntut Pulau Pinang manfaatkan peluang

zainal-abidin-hassan-210717.jpg
Skuad Pulau Pinang tidak mengharapkan ihsan pasukan lain, sebaliknya fokus dalam misi kekal dengan perjuangan untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Super menjelang pertemuan dengan Kedah, esok. 

Semangat skuad Pulau Pinang cukup tinggi susulan kejayaan mereka menewaskan Melaka United 3-2 di tempat lawan, minggu lalu. 

Kemenangan itu menyaksikan mereka kini hanya dibezakan tiga mata berbanding Melaka yang menduduki tangga ke-11 liga. 

Pulau Pinang akan menerima kunjungan Kedah di Stadium Batu Kawan sambil mengharapkan tiga mata lagi dapat diraih sambil harapan diletakkan kepada pasukan yang berada di atas mereka gagal mengutip mata. 

Begitupun, Zainal lebih fokus terhadap misi pasukannya dan sekali lagi menegaskan kepentingan agar peluang jaringan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. 

"Saya sudah mengingatkan pemain-pemain bahawa kami tidak harus mengharapkan kepada mana-mana pasukan. 

"Jika kami terus mencipta kemenangan dan memungut tiga mata, maka kami akan menentukan nasib sendiri," katanya dalam sesi latihan terakhir, hari ini. 

Sementara itu, Zainal turut berpandangan Lang Merah juga mengidamkan kebangkitan susulan beberapa keputusan mengecewakan kebelakangan ini. 

Lawan mereka itu sekadar seri dengan Selangor dalam aksi Liga Super, minggu lalu, selain kecundang kepada Kelantan dalam kempen Piala Malaysia. 

"Mereka mempunyai senjata yang amat berbahaya dan kami sedang mempersiapkan strategi untuk berdepan Kedah.

"Prestasi Kedah sebelum ini tidak boleh diambil kira kerana mereka pasti akan bertungkus-lumus untuk meraih mata penuh."

Advertisement

Must Watch Video