Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Young sukarela sahut tugas penalti England

young.jpg
Ashley Young secara sukarela akan menawarkan diri sekiranya pertembungan Piala Dunia 2018 di antara England dan Colombia pada awal pagi esok perlu ditentukan melalui sepakan penalti.

Young merupakan salah seorang daripada dua pemain England -- selain Ashley Cole -- yang gagal melaksanakan tugasan berkenaan ketika The Three Lions tersingkir daripada Euro 2012 kepada Itali tetapi tonggak Manchester United berkenaan tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tanggungjawab itu sekali lagi di Stadium Spartak nanti. 

"Sudah tentu, saya akan meletakkan nama saya di hadapan," katanya.

"Saya mempunyai keyakinan untuk mengambil penalti. Jika ia berjalan seperti itu, maka saya akan menawarkan diri saya dan mengambil satu tendangan. 

"Kami telah berlatih mengambilnya dan saya yakin dengan kemampuan untuk menyumbat gol."

Kegagalan sepakan penalti England bukanlah asing dalam kejohanan utama, namun jurulatih, Gareth Southgate, menegaskan bahawa pemainnya "bersedia" untuk kemungkinan itu.

"Kami telah melalui pelbagai latihan sebagai persediaan," katanya.

"Jika sudah sampai ke tahap ini, kami tahu kedudukan pemain kami. Seperti yang kita lihat dalam beberapa tahun ini, sesetengah pemain mengambil sepakan penalti lebih banyak daripada yang lain.

"Kami bersedia, namun masih banyak yang ditawarkan dalam bola sepak sebelum kita mencapai ke penentuan penalti. Tumpuan utama adalah apa yang terjadi sepanjang permainan tetapi jika ia berlaku juga, maka kami sudah bersiap sedia."

Young teruja dengan kebarangkalian England mara ke suku akhir di Russia untuk bertemu sama ada Switzerland atau Sweden.

Tambahnya: "Sebagai sebuah pasukan, anda ingin menulis cerita dan sejarah tersendiri tetapi kami tidak mampu untuk melihat jauh ke hadapan. Kami akan mengharungi perlawanan penting ini.

"Kami perlu memberikan persembahan hebat dan kami akan memberi tumpuan kepada perlawanan ini," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video