Pemain import baru Melaka United, Jeon Woo Young, akan diturunkan dalam perlawanan penuh getir pertamanya menentang The Red Giants di Stadium Selayang, malam ini .
Woo Yong, yang berasal dari Korea Selatan, akan diturunkan selepas Melaka United Football Club (MUFC) memperoleh sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain itu dua hari lepas.
Timbalan Presiden MUFC, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata kehadiran Woo Young akan membantu memperkasakan pasukan serta merealisasikan harapan menjulang kejayaan bersama barisan pemain skuad Hijau Putih musim ini.
Katanya lagi, bekas pemain kelab Jeongnam Dragons dalam Liga Korea itu diharap bijak membentuk gandingan terbaik ketika menyaingi Selangor.
“Saya harap dia berikan komitmen terbaik dan dapat membantu pasukan kami untuk memperoleh kemenangan," katanya.
Woo Young dibawa masuk menggantikan pemain tengah dari Filipina, Omid Nazari, yang digugurkan pada saat-saat akhir berikutan tidak menepati kehendak pasukan.