Skip to main content

Bola Sepak

Williams lega Melaka buktikan keupayaan dan keinginan

150217-eric-williams.jpg
Keputusan Melaka United mengambil risiko dengan menurunkan pemain import dari Korea Selatan, Jeong Woo Young, yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan, memberi pulangan berbaloi dalam memastikan mereka terus kekal dalam perjuangan merebut Piala FA, musim ini. 

Melaka yang diterajui Eric Williams layak ke pusingan ketiga dengan menundukkan PKNS hasil jaringan tunggal Amri Yahyah. 

Pelawat hampir tersentak pada minit kelapan apabila ketua pasukan, Gonzalo Soto, nyaris menjaringkan gol sendiri, mujur tolakannya tidak menuju tepat ke dalam gawang biarpun Zamir Selamat sudah tertewas. 

Jaringan Amri pada minit ke-22 hasil hantaran Ilija Spasojevic dibatalkan selepas penyerang Melaka itu berada dalam kedudukan ofsaid. 

PKNS melepaskan kesempatan terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-39 melalui peluang terbuka yang dimiliki Patrick Ronaldinho tetapi usaha itu gagal berikutan tindakan penyudahnya yang tidak tepat. 

Sebelas minit selepas babak kedua bermula, tuan rumah memperoleh dua kesempatan terhidang, bermula dengan percubaan Woo Young yang mengenai tiang sebelum tindakan susulan Spasojevic yang meliar. 

Akhirnya, Amri muncul wira tuan rumah pada minit ke-66 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti -- jaringan peribadi pertamanya bersama Melaka musim ini. 

Penjaga gol Melaka, Fazli Paat, bertindak cemerlang menafikan tandukan Soto pada minit ke-82 untuk tuan rumah terus mempertahankan kedudukan 1-0 itu sehingga wisel penamat. 

"Pemain telah membuktikan kepada penyokong bahawa mereka mempunyai keupayaan dan keinginan untuk mara ke peringkat seterusnya.

"Kemenangan ini juga menyuntik keyakinan kepada pemain saya," ujar pengendali Melaka, Eric Williams. 

"Corak serangan Melaka lebih bagus, kami pula sedikit terleka. 

"Kami cuba bangkit namun tak berjaya.

"Oleh itu, kami harus menerima kekalahan ini," kata jurulatih PKNS, E. Elavarasan.

Advertisement

Must Watch Video