Skip to main content

Bola Sepak

Wan Mustaffa : UiTM masih ada peluang

5717wanmustaffa.jpg
Hajat UiTM FC untuk mencipta kejutan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, Piala Malaysia tidak kesampaian apabila kalah 1-3 kepada tuan rumah, Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.

Jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, akur dengan kekalahan tersebut sambil menyifatkan ketumpulan barisan penyerangnya sebagai punca utama mereka gagal mencipta kemenangan.

“Tahniah kepada pasukan Kelantan atas kemenangan ini. Namun, saya juga berbangga dengan semangat juang pemain UiTM FC yang beraksi cukup baik dan tidak mudah menyerah.

“Cuma, mungkin kami tidak bernasib baik kerana barisan penyerang gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan,” katanya.

Mustaffa berkata kekalahan ini bukanlah penamat perjuangan UiTM dalam kempen Piala Malaysia, sebaliknya mencabar pemain untuk bangkit semula menghadapi perlawanan kedua menentang juara bertahan, Kedah, di gelanggang sendiri, Jumaat ini.

“Peluang masih ada. Ini baru perlawanan pertama. Kami mempunyai lima lagi perlawanan dalam Kumpulan C. Tiada jalan mudah kerana kami perlu beraksi dengan pasukan Liga Super yang hebat.

“Insya-Allah, jika kami mampu beraksi cukup baik menentang Kelantan di sini, saya yakin kami juga boleh memberikan saingan yang hebat kepada pasukan Kedah dalam perlawanan kedua nanti,” katanya.

Dalam saingan yang agak seimbang malam tadi, UiTM melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan The Red Warriors (TRW) untuk mencari gol pembukaan.

Malangnya, segala usaha yang dilakukan penyerang dari Korea Selatan, Do Dong Hyun, dan Akanni Sunday Wasiu berjaya dihalang oleh penjaga gol muda TRW, Ramadhan Abd Hamid.

Biarpun TRW berjaya menjaringkan gol pertama melalui penyerang, Mohd Khairul Izuan Rosli, pada minit ke-41, namun ia tidak mematahkan semangat jentera serangan UiTM.

Penyerang Nigeria, Wasiu, membuktikan sentuhan penyudahnya cukup tajam apabila menjaringkan gol penyamaan UiTM FC pada minit Ke-51 sebelum Khairul Izuan menambah jaringan keduanya 10 minit kemudian.

Kelekaan benteng pertahanan UiTM terus dihukum apabila penyerang TRW dari Lubnan, Abou Bakr Al Mel, menjaringkan gol ketiga Kelantan pada minit-minit akhir permainan.
 

Advertisement

Must Watch Video