Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Vida: Croatia mampu dakap Piala Dunia

vida.jpg
Domagoj Vida dan Croatia menyasarkan gelaran juara Piala Dunia Russia apabila menghadapi tuan rumah, Russia, di Sochi pada awal pagi Ahad ini. 

Pernah mara ke separuh akhir edisi Perancis 98, Croatia dilihat berada di landasan tepat untuk sekurang-kurangnya menyamai kejayaan terbesar mereka itu menjelang pertembungan suku akhir di Stadium Fisht.

Dibarisi pemain handalan seperti Luka Modric, Ivan Rakitic dan Ivan Perisic, Croatia dilihat sebagai kuda hitam untuk menjulang trofi berprestij di Moscow pada 15 Julai nanti. 

Menurut pertahanan berpengalaman itu, keyakinan tinggi dalam kalangan skuad itu semakin melonjak selepas menewaskan Denmark.

"Ia bukan permainan terbaik kami. Kami menghadapi tekanan hebat, terutama selepas tewas kepada Portugal dalam Euro 2016. Kami terdesak memerlukan kemenangan, ia bukan mudah," kata pemain berusia 29 tahun itu.

"Tekanan agak berkurangan ketika ini. Kami pasti akan menewaskan Russia dan mudah-mudahan kami akan sampai ke penghujungnya. Kami sudah semakin dekat, perancangan kami belum berhenti."

Penjaga gol Croatia, Danijel Subasic, muncul wira ketika menentang Denmark untuk memastikan kemenangan 3-2 negara Balkan berkenaan dalam penentuan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.

Subasic -- yang menangis selepas disoal mengenai baju T yang dipakainya ditujukan kepada Hrvoje Custic berikutan kematian tragis pemain tengah berkenaan pada 2008 -- menyelamatkan tiga penalti susulan persembahan cemerlang dalam masa tambahan.

"Kami bersyukur atas apa yang dia (Subasic) lakukan (melawan Denmark)," kata Vida. "Bagaimanapun, ini ialah sukan berpasukan dan setiap permainan menampilkan wira yang berbeza.

"Apa yang penting, kami menewaskan Denmark, matlamat kami lebih tinggi, kami ingin mendakap trofi Piala Dunia."

Croatia menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia yang sukar yang menyaksikan Ante Cacic meninggalkan pasukan selepas seri 1-1 dengan Finland pada Oktober lalu.

Ditanya mengenai kebangkitan Croatia untuk mencapai separuh akhir, Vida menambah: "Kami dalam situasi yang buruk pada penghujung kelayakan tetapi kami sedar kualiti dan pemain yang kami miliki. 

"Dengan setiap kemenangan, keyakinan kami semakin meningkat. Kami percaya kami boleh terus maju di Russia. Sokongan padu di negara kami menyemarakkan semangat kami," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video