Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Veratti, mendedahkan pemain Barcelona memberitahunya bahawa mereka sudah putus harapan sebelum bangkit melakukan kejutan dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah.
Mendahului 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16, PSG dimalukan 6-1 dalam aksi kedua untuk tersingkir dengan agregat 6-5 di Camp Nou.
Walaupun ketinggalan 3-1 dengan Edinson Cavani berjaya mencuri gol di tempat lawan, PSG masih berpeluang cerah untuk mara tatkala Barcelona masih memerlukan tiga gol dengan perlawanan memasuki minit ke-80.
Bagaimanapun, PSG hanya mampu menjadi penonton dalam perlawanan sendiri ketika Barca berjaya menemukan tiga gol tersebut hasil sumbangan Neymar dan Sergi Roberto.
Veratti mendedahkan pemain Barcelona memberitahunya mereka sudah mengibarkan bendera putih sebelum keajaiban tersebut berlaku.
"Gol Cavani memberikan kami ketenangan," Veratti memberitahu L'Equipe.
"Ketika saya bercakap dengan pemain Barcelona, mereka mengakui perjalanan mereka sudah berakhir.
"Tetapi tiga gol dalam tempoh tujuh minit, sukar untuk saya jelaskan.
"Saya tidak akan melupakan perlawanan ini. Ini akan menjadi pengajaran berguna kepada semua."
Veratti menambah: "Mereka layak untuk mara. Mereka memberikan tekanan tinggi hingga kami sukar untuk mencari ruang.
"Kami perlu bangkit semula. Kami tewas 6-1 tetapi bukan kerana pengadil."