Skip to main content

Bola Sepak

Veenod lega hadiahkan jaringan buat Selangor

17717veenod.jpg
Pemain tengah Selangor, S. Veenod, tidak menjangka penampilannya kali ini mampu membantu Selangor meraih keputusan 1-1 dalam aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, kelmarin.

Venood diberi peluang untuk mengisi kesebelasan utama selepas ketiadaan Mohd Amri Yahyah, Andik Vermansyah dan Adam Nor Azlin.

Peluang itu digunakan sebaik-baiknya anak jati Pulau Pinang berkenaan bagi membuktikan penampilannya juga mampu membantu Selangor.

Veenod menjadi penyelamat mengelak Selangor pulang dengan tangan kosong menerusi jaringan pada minit ke-15.

"Kami rasa bangga dapat menjaringkan gol dan kami boleh mengambil satu mata. Ia lebih baik daripada pulang tangan kosong.

"Pemain sudah melakukan yang terbaik dan kami akan teruskan rentak seperti ini. Kalau ada pemain seperti Amri atau Andik, mungkin kami boleh menang," katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff, mengakui anak buahnya gagal beraksi dengan sempurna walaupun bermain di laman sendiri.

Mengakui pemain keletihan mental dan fizikal selepas melewati lima perlawanan tanpa rehat, Nidzam terpaksa akur keputusan itu sebagai adil buat kedua-dua pasukan yang kehilangan ramai pemain utama.

"Kami memerlukan kelajuan di bahagian depan. Sekiranya kami ada pemain yang mampu menggalas tugas tersebut, sudah tentu kami akan menurunkannya.

"Tetapi itu yang terdaya dan keadaan masih belum selamat untuk memasukkan pemain skuad Piala Presiden," katanya.

Advertisement

Must Watch Video