Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Vasilyev dakwa Monaco menangi pemburuan khidmat Golovin

vasilyev.jpg
Naib Presiden AS Monaco, Vadim Vasilyev, mendakwa kelab Ligue 1 itu telah memenangi pemburuan mendapatkan Aleksandr Golovin dengan mengetepikan Juventus dan Chelsea.

Golovin muncul salah seorang bintang Piala Dunia 2018 buat Russia yang melepasi jangkaan untuk mencapai peringkat suku akhir di bawah kendalian Stanislav Cherchesov.

Tendangan bebasnya yang luar biasa dalam aksi pembukaan temasya Russia 2018 ketika bertemu Arab Saudi mengesahkan kemenangan 5-0 Russia, lalu membuatkan Golovin menjadi buruan kelab-kelab besar.

Juve muncul pilihan untuk mengikat pemain berusia 22 tahun itu tetapi Vasilyev mendakwa Golovin akan melengkapkan perpindahan ke kelab Ligue 1 itu selepas bersetuju dengan perjanjian selama lima tahun.

"Petang ini, Monaco dan CSKA Moscow akhirnya bersetuju dengan perpindahan Golovin," kata Vasilyev kepada Sport Express.

"Rundingan ini rumit. Sehinggalah detik akhir, saya masih belum pasti sehinggalah perpindahan ini disempurnakan.

"Dalam pertemuan dengan salah seorang pemimpin kelab Turin itu pada awal Mei tahun ini, saya dengar perpindahan Aleksandr telah diputuskan.

"Bagaimanapun, pesaing utama sebenar kami adalah Chelsea.

"Saya percaya Monaco menawarkan lebih banyak kelebihan berdasarkan situasi kelab dan projek yang lebih mudah difahami bagi pemain itu.

"Chelsea merupakan pesaing utama yang sangat saya hormati tetapi mereka memiliki terlalu ramai pemain tengah. Pada pendapat saya, Aleksandr mampu bermain dengan mana-mana kelab terkemuka di dunia. 

"Bagaimanapun, dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di peringkat peralihan ini. 

"Monaco boleh menjadi batu loncatan buat Golovin. Lihatlah bekas pemain kami yang kini tampil bersama pasukan terkemuka Eropah."

Monaco dilaporkan akan membayar CSKA Moscow €30 juta (RM142.5j) untuk khidmat Golovin.

 

Advertisement

Must Watch Video