Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Vardy terlepas sesi latihan England

vardy_1.jpg
Jamie Vardy tidak mengambil bahagian dalam sesi memanas badan bersama rakan sepasukan England di Repino hari ini dan masih dalam keraguan akibat kecederaan menjelang pertembungan suku akhir Piala Dunia 2018 menentang Sweden, malam esok. 

Penyerang Leicester City berkenaan masuk sebagai pemain gantian dalam masa sebenar perlawanan ketika seri 1-1 dengan Colombia sebelum skuad kendalian Gareth Southgate itu memenangi penentuan penalti 4-3.

Biarpun dianggap pakar sepakan penalti untuk kelabnya, Vardy bagaimanapun bukan salah seorang dalam kalangan lima pemain England untuk tugas getir di Stadium Spartak itu selepas mengalami kecederaan pangkal paha.

Dia turun berlatih semalam di sebalik hujan lebat menjelang kunjungan England ke Samara dengan menjalani sesi pemulihannya berasingan daripada pasukan utama.

Selain itu, tiada kebimbangan lain dalam skuad Southgate itu dengan Ashley Young, Kyle Walker, Dele Alli dan ketua pasukan, Harry Kane, pulih daripada kecederaan ringan dan kekejangan selepas aksi pusingan 16. 

Fabian Delph turut kembali melaporkan diri selepas pulang ke Englang bagi menyambut kelahiran anak ketiganya. 

Advertisement

Must Watch Video