Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Varane, Griezmann hantar Les Bleus ke separuh akhir

griezmann.jpg
URUGUAY 0 PERANCIS 2 

Raphael Varane dan Antoine Griezmann mencetak nama selaku penjaring tatkala Perancis mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 untuk bertemu Belgium selepas menyingkirkan Uruguay, malam tadi. 


Selepas permainan bermula rancak tanpa sebarang gerakan berkualiti, Varane menyempurnakan sepakan percuma Griezmann untuk membuka tirai jaringan sebelum pemain Atletico Madrid berkenaan menggandakan kelebihan Perancis sejurus selepas sejam melewati permainan untuk mengecewakan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.

Griezmann diberi ruang dari jarak 25 meter lalu melepaskan rembatan deras yang sepatutnya menjadi rutin untuk diselamatkan Muslera, begitupun bola itu terlepas daripada genggamannya sebelum bergolek melintasi gawang yang dikawalnya. 

Uruguay yang dibimbing Oscar Tabarez turun tanpa penyerang utama yang tercedera, Edinson Cavani, sehingga menyukarkan mereka untuk mencari ruang kebangkitan dan Perancis kini menanti keputusan perlawanan awal pagi nanti untuk menentukan siapakah lawan yang bakal dihadapi di St Petersburg pada Selasa ini. 

Tempoh 40 minit awal permainan memperlihatkan Uruguay mengatur asakan dan memberi tekanan hebat sebaik Perancis mengawal bola, namun anak buah Didier Deschamps itu menyerap segala asakan dengan baik sambil budak emas Les Bleus, Kylian Mbappe, masih tercari-cari rentak. 

Penggempur Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan, yang merakamkan dua gol dalam kemenangan 4-3 ke atas Argentina dalam pusingan 16 lalu, gagal menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-15 dalam aksi di Nizhny Novgorod itu.

Mbappe meluru ke hadapan untuk menyambut umpanan Olivier Giroud di dalam petak penalti, namun gopoh dalam tandukannya sehingga melewati palang gol meskipun mempunyai masa dan ruang. 

Kedua-dua pasukan dilihat kurang menjana gerakan kreatif sebelum rentak permainan bertukar lima minit menuju waktu rehat. 

Sepakan percuma Griezmann dari sebelah kanan pintu gol lawan disambut Varane menerusi tandukan tipis untuk merobek gawang Muslera.

Uruguay hampir bertindak balas dengan cara yang serupa empat minit kemudian tetapi kali ini tandukan Martin Caceres cemerlang dihalang Hugo Lloris dengan tangan kanannya manakala tindakan susulan Diego Godin pula meliar. 

Perancis memulakan babak kedua dengan lebih yakin, namun merakamkan kejutan dengan gol kedua selepas 61 minit perlawanan. 

Muslera sudah menduga arah bola berkenaan, namun posisi badannya tidak cukup untuknya mengeluarkan percubaan Griezmann dan hanya dapat melihat bola muntah itu berputar ke dalam golnya. 

Pemain gantian Uruguay, Cristian Rodriguez, berpeluang untuk merapatkan kedudukan tetapi sepakannya pada minit ke-64 gagal menemui sasaran.

Bagaimanapun, wakil Amerika Selatan itu terus berjuang dan kekecewaan mereka diluahkan sebaik Mbappe rebah ekoran kekasaran ringan yang dilakukan Rodriguez sehingga mencetuskan situasi tegang yang melibatkan Godin, Nahitan Nandez dan Paul Pogba.

Corentin Tolisso turut berpeluang menjadikan kedudukan 3-0 untuk Perancis pada minit ke-73 tetapi sepakan lencongnya tidak menepati sasaran manakala satu lagi sepakan percuma Griezmann pula meliar. 

Pertahanan tengah Uruguay, Jose Gimenez, sudah pun menangis ketika permainan berbaki lima minit kerana berdepan hakikat bahawa kempen mereka sudah berakhir, dengan dihantar pulang oleh Perancis. 

Advertisement

Must Watch Video