COPA DEL REY
Valverde: Tiada apa di sebalik penggantian Iniesta
Ernesto Valverde berkata keputusan memanggil masuk Andres Iniesta ketika kemenangan 5-0 Barcelona ke atas Sevilla dalam final Copa del Rey di Madrid, awal pagi tadi, bukanlah perpisahan kepada pemain yang menjadi sasaran kelab Liga Super China (CSL) itu.
Pemain tengah ikonik itu berkata dia akan memutuskan masa depannya "minggu ini" di sebalik khabar angin perpindahan ke CSL selepas menjaringkan gol dalam perlawanan itu.
Chongqing Lifan -- yang dibimbing bekas jurulatih Portugal dan Sporting CP, Paulo Bento -- dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk membawa masuk pemain berusia 33 tahun itu ke China.
Iklan
Bagaimanapun, pengurus Barca, Valverde, bersikap mengunci mulut mengenai masa depan Iniesta di kelab gergasi LaLiga itu apabila menegaskan tiada apa-apa di sebalik merehatkan pemain veteran itu dua minit sebelum tamat.
"Dia bermain hebat. Saya mahu semua menikmati permainan luar biasa sepanjang perlawanan bagi memberi penghormatan kepadanya tetapi pertukaran itu bukan memberi maksud lain," kata Valverde kepada wartawan mengenai Iniesta yang diberi tepukan penghormatan di Wanda Metropolitano.
"Tentang dia, begitu gembira melihat dia beraksi, melihat dia bermain seperti dilakukannya hari ini. Saya berkata yang sama mengenai Messi pada masa lalu: Mereka membuatnya kelihatan lebih mudah, apa yang mereka lakukan.
"Saya akan buat apa-apa sahaja untuk menjadi seperti Iniesta jika saya masih seorang pemain. Kami sangat bertuah memilikinya dan semua sangat bertuah dapat menikmati corak permainannya," katanya.
Ditekan mengenai perancangan masa depan Iniesta, Valverde berkata: "Tiada apa-apa untuk dikatakan. Ia soalan rumit, ia seperti kamu mahu saya kata apa yang dia beritahu kami.
"Hanya dia seorang yang boleh buat pilihan. Kami masih bersamanya dan kami gembira dengannya," ujarnya.
Must-Watch Video