Skip to main content

Bola Sepak

Valverde ingatkan Chelsea: Rekod memihak Barca

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

valverde_1.jpg
Ernesto Valverde berasakan kelebihan sejarah Barcelona menyingkirkan Chelsea di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara  (UCL) perlu diambil kira sementara Lionel Messi pula berazam untuk mengakhiri kemarau jaringan menentang The Blues.

Kedua-dua pasukan akan berentap buat kali ke-13 dalam kancah elit Eropah itu apabila Barca melakukan kunjungan ke Stamford Bridge untuk pertemuan pusingan 16, awal pagi esok. 

Chelsea belum tumpas dalam tujuh perlawanan terakhir mereka menentang Barca di pentas itu. 

Bagaimanapun, peneraju LaLiga itu memiliki rekod lebih baik di luar peringkat kumpulan dengan memenangi tiga pertemuan berbanding Chelsea, dua.

Valverde, yang tampil dalam sidang media menjelang pertemuan itu, tidak menolak pengaruh pertemuan lalu.

"Sejarah perlu diambil kira," katanya.

"Gaya permainan pemain utama berubah. Messi, (Andres) Iniesta mungkin masih ada, namun saya fikir agak bagus wujud sedikit persengketaan, ini menawarkan jangkaan yang lebih tinggi kepada kita semua."

Bintang Barca, Messi, tidak pernah menjaringkan gol sepanjang 655 minit bertemu Chelsea, namun Valverde sedar pasukannya sedia menghulurkan bantuan kepada pemain Argentina itu untuk mengatasi badi yang menghantuinya. 

"Ini sesuatu yang penting untuk Leo, saya, semua orang, Barcelona, ​​ia rumit tetapi paling mustahak, kami mahu layak," katanya.

"Leo mungkin tidak begitu bernasib baik ketika menghadapi Chelsea sebelum ini, namun esok adalah perlawanan yang berbeza."

Valverde menyatakan kekaguman terhadap Antonio Conte serta mengalu-alukan cabaran daripada bekas pengurus Juventus dan Itali itu yang meraih gelaran Liga Perdana pada musim lalu.

Dia berkata: "Antonio Conte antara jurulatih terbaik di dunia. Dia mempunyai rekod yang hebat, bukan hanya  di England selepas memenangi liga dengan Chelsea, malah bersama Juve dan dengan pasukan kebangsaannya.

"Pasukannya bergerak secara taktikal. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan pada setiap masa dan ia adalah cabaran sebenar.

"Beraksi di tempat lawan, kami merancang untuk mengubah sedikit dinamika kami, mereka mempunyai kelebihan fizikal, mereka bertahan dengan baik serta memiliki pemain yang boleh menghukum anda," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video