Skip to main content

Bola Sepak

Valverde gembira Barca sedikit menderita

suarez_3.jpg
EIBAR 0 BARCELONA 2

Jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde, mengakui pendahulu LaLiga itu terpaksa berhempas-pulas sebelum membenam Eibar, malam tadi.


Keputusan seri dengan Espanyol dan Getafe menjejaskan kelebihan selesa mereka, namun gol pembukaan Luis Suarez hadir ketika mereka menghadapi asakan bertali arus tuan rumah di Stadium Jose Luis Mendilibar pada awal permainan. 

Asakan Eibar mulai kendur sebaik Fabian Orellana menerima kad merah pada pertengahan babak kedua dan Barca memerlukan gol Jordi Alba, dua minit menuju masa kecederaan untuk menjamin mereka terus di puncak, mendahului Atletico Madrid dengan 10 mata.

"Objektif kami adalah kemenangan berturut-turut," kata Valverde dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Eibar mempunyai corak permainan yang menuntut anda bermain dengan cara tertentu.

"Setiap kali kami melepasi tekanan pertama, kami mampu menjaringkan gol kerana mereka mengambil risiko tinggi.

"Setiap pasukan menderita di Ipurua, tidak ada yang menang di sini dengan mudah, malah Atletico hanya menang pada minit terakhir," katanya.

Tugas seterusnya menanti Barcelona adalah aksi Liga Juara-Juara (UCL) dan mereka perlu mengatasi halangan awal berdepan Chelsea di Stamford Bridge. 

"Perlawanan Selasa nanti (awal pagi Rabu) merupakan hal berbeza, kami akan cuba menghasilkan prestasi yang baik," kata Valverde, yang melabel Eibar sebagai persiapan ideal untuk menghadapi skuad kendalian Antonio Conte itu.

"Hari ini adalah ujian yang baik sebelum hari Selasa, kami terpaksa menempuhi banyak masalah, Eibar dalam keadaan yang baik dan ia adalah permainan yang sangat sukar.

"Mudah-mudahan ini akan memberi manfaat kepada kami dalam aksi pertengahan minggu nanti walaupun ia pertandingan yang berbeza.

"Eibar kerap memberi kami tekanan, mereka sangat bagus."

Dalam perkembangan lain, Lionel Messi menyamai rekodnya pada 2012 yang menyaksikan percubaannya dinafikan tiang atau palang gol sebanyak 14 kali musim ini. 

Advertisement

Must Watch Video