Skip to main content

Bola Sepak

United terhindar daripada keaiban

menyu-cover-pic.jpg
Perjuangan menebus kekalahan berganda serta memberikan penghormatan terhadap seorang legenda menjadi pembakar semangat Manchester United dalam kemenangan tipis ke atas FC Copenhagen dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

United bukan saja tiada pilihan selain mendapatkan kemenangan, bahkan keputusan seri sekalipun bakal membawa derita untuk perjuangan dalam babak-babak seterusnya.

Setelah bergelut sepanjang malam, misi mereka berjaya disempurnakan pada akhirnya tetapi pada kadar paling minimum, itu pun setelah diselamatkan oleh penjaga gol, Andre Onana, pada detik terakhir perlawanan dan setelah mempamerkan persembahan yang teramat hambar dan tidak bermaya pada separuh masa pertama.

Siapa sangka pemain yang dijadikan bahan jenaka berterusan buat kelab serta negaranya sendiri, Harry Maguire, bangkit menjadi wira yang menjaringkan gol kemenangan?

Di sebalik ura-ura dia bakal dijual pada jendela perpindahan lalu, Maguire kekal cekal dan berjuang untuk merebut tempatnya di barisan pertahanan United dan kini telah mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut – melaungkan azamnya untuk kembali sebagai pemain pilihan utama.

Naluri seorang pemain berkaliber mendorong Maguire untuk melakukan larian ‘overlap’ pada minit ke-72, menambahkan jumlah pemain yang mengepung kawasan penalti Copenhagen, dan naluri jugalah yang membantu dia melepasi kawalan kesemua pemain pertahanan dan menanduk masuk lorongan tajam Christian Eriksen.

Maguire meraikan jaringan dengan membentuk simbol hati menggunakan tangannya sambil menepuk-nepuk lencana di dada, lambang kasih sayangnya terhadap pasukan serta penyokong tidak pudar di sebalik segala penderitaan dan cemuhan yang terpaksa ditanggung sejak lebih setahun lalu.

Menyebut tentang kasih sayang, stadium Old Trafford diserikan dengan pelbagai acara serta tanda penghormatan terakhir terhadap legenda kelab, Bobby Charlton, yang meninggal dunia beberapa hari lalu.



Entah sama ada disebabkan tekanan yang tercipta agar tidak menghampakan semangat legenda itu ataupun sama ada United sememangnya kekurangan inspirasi dan dorongan, aksi yang dipertonton pada separuh masa pertama adalah sesuatu yang langsung tidak berbaloi untuk disebutkan.

Barisan pertahanan United dilihat mudah dibuli oleh pasangan penyerang Copenhagen, Mohamed Elyounoussi dan Diogo Goncalves, dan hanya nasib baik yang menghalang mereka daripada dibolosi seawal lima minit pertama lagi.

Di bahagian serangan pula, hanya Rasmus Hojlund kelihatan bersemangat untuk memberikan tekanan terhadap lawan tetapi tanpa kreativiti dan percubaan untuk menyerang daripada kesemua rakan sepasukan yang lain, tiada apa yang mampu dia lakukan seorang diri.

Mujurlah separuh masa kedua membawa cerita berbeza hasil kemasukan Eriksen menggantikan Sofyan Amrabat yang cukup mengecewakan aksinya.

Dalam usaha mempertahankan satu-satunya gol yang tercipta, Scott McTominay nyata terlalu ghairah sehinggakan kepala Elyounoussi pun hendak ditendangnya.

Pada detik paling diperlukan, Onana hadir mencipta keajaiban untuk menebus kesilapan-kesilapannya yang lalu dan memastikan kemenangan selamat dimiliki United.

Objektif tercapai, tetapi jangan sesekali disangka aksi yang diiringi tuah ini mampu untuk diulang berkali-kali dalam kesemua cabaran yang mendatang.
 

Advertisement

Must Watch Video