Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

UEFA dakwa Montenegro ekoran ejekan perkauman

montenegroengland.jpg
Montenegro akan didakwa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) gara-gara pertuduhan berkelakuan perkauman ketika menentang England dalam pusingan kelayakan Euro 2020, semalam.

Pengurus England, Gareth Southgate, mendakwa pertahanan sayap pasukannya, Danny Rose, menjadi mangsa ejekan perkauman selepas dilayangkan kad kuning manakala Callum Hudson-Odoi mendedahkan dia mendengar ejekan 'monyet' dalam aksi di Podgorica itu.

Ketua jurulatih Montenegro, Ljubisa Tumbakovic, mendakwa dia tidak perasan mahupun mendengar sebarang ejekan, namun negara itu pernah menerima pelbagai hukuman daripada UEFA, termasuk yang melibatkan isu perkauman.

Badan induk itu turut mendakwa Montenegro dengan penggunaan mercun, lontaran objek ke padang dan gangguan penonton yang menghalang laluan bertangga.

Jawatankuasa Pengawalan, Etika dan Disiplin UEFA akan mengadakan sesi pendengaran mengenai kes berkenaan pada 16 Mei depan.

Pemain muda, Hudson-Odoi, yang melakukan penampilan antarabangsa pertamanya dalam perlawanan itu, menggesa UEFA untuk bertindak tegas terhadap isu itu manakala Raheem Sterling menyarankan agar badan induk itu mengenakan penggantungan penyokong buat Montenegro.

Southgate pula menegaskan hukuman sahaja tidak akan menyelesaikan isu tersebut. 

"Hukuman hanya digunakan jika ia memberikan pengajaran," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Hukuman akan menjadi sia-sia jika ia tidak membantu dalam memberikan pengajaran.

"Anak-anak saya tidak pernah berfikir tentang tempat setiap orang dilahirkan, bahasa apa yang mereka gunakan dan apa warna mereka.

"Golongan muda seperti itu tidak bersalah. Mereka hanya dipengaruhi oleh orang yang lebih tua. 

"Di negara kami juga begitu. Saya tidak berada di sini untuk hanya mengkritik tentang apa yang berlaku malam ini kerana di negara kami masih mempunyai masalah sama. Kami masih belum bebas daripadanya.

"Anda boleh menghukum pasukan tetapi secara terus terang, ia tidak akan menghentikan beberapa orang yang berfikiran seperti itu.

"Kita perlu memastikan bahawa kita mendidik anak muda kerana mereka adalah masa depan.

"Kita perlu melakukan sejauh mana yang kita mampu," katanya.

Persatuan Bolasepak Montenegro (FSCG) telah memberikan respons terhadap pertuduhan itu dengan mengatakan mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang terlibat jika mereka terbukti bersalah selepas penyiasatan.

Kenyataan yang dikeluarkan FSGC itu berbunyi: "Dengan mematuhi peraturan prosiding, kami tidak akan memberikan komen mengenai pertuduhan tersebut bagi membenarkan UEFA melakukan tanggungjawab mereka untuk membuat keputusan berdasarkan keterangan yang relevan yang dibentangkan semasa prosiding tatatertib.

"Kami perlu mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa FA Montenegro sentiasa menjadi rakan kongsi yang komited kepada organisasi bola sepak antarabangsa dalam memerangi segala bentuk diskriminasi di dalam dan di luar padang.

"Dalam perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan, kami tidak mempunyai sebarang insiden yang berkaitan agama, jantina atau diskriminasi kaum dan kami berkeyakinan kejadian sedemikian tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Dalam masyarakat pelbagai budaya dan multi-etnik seperti Montenegro, tidak ada ruang untuk berkelakuan seperti itu seperti yang dialami tetamu kami, England, dalam dua perlawanan rasmi mereka di Podgorica.

"FA Montenegro akan melakukan segala langkah yang perlu untuk mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab yang mungkin telah menjadi penghasut untuk tingkah laku sedemikian agar mereka diharamkan daripada semua perlawanan yang dianjurkan persatuan kami."

Advertisement

Must Watch Video